HIDUP DAN PERSEPSI


Sedar tak sedar tahun 2010 ini hampir melepasi suku pertamanya. Dalam tiga bulan pertama ini berbagai pengisian dan input kehidupan yang dilalui. Ada yang boleh dijadikan tauladan dan pengajaran, tak kurang juga yang sesuai untuk sempadan panduan dan peringatan dalam meneruskan langkah-langkah kehidupan yang yang masih berbaki ini.



Senario politik penuh warna-warni, menyilau pandangan rasa dan fikir. Kekadang tampakannya biru, datang sirna luntur menjadi kelam, ada yang merah, kononnya tranformasi realitinya pudar menjadi daki, datang pula hitam berawan mendung, turun hujan bersinar pelangi. Yang melompat, yang dipecat, yang mendakwa, yang didakwa. Lantaran itu hidup tanpa pedoman ilmu dan kematangan fikiran mudah tercemar dengan warna-warni palsu kehidupan. Kata orang tua-tua; sinar kaca jangan anggap ianya permata, air yang tenang jangan disangka tiada buaya.



Rasulullah mengajar kita, mahukan dunia perlu berilmu, mahukan akhirat perlu berilmu, mahukan kedua-duanya juga perlu berilmu. Begitu pentingnya ilmu hingga disamakan orang fasik yang berilmu itu lebih baik dari 'abid yang jahil. Kedudukan golongan ilmuan diletakkan tinggi dalam Islam.



Namun jangan dilupa, ilmu tanpa adab, kejujuran dan keikhlasan umpama pohon berduri di padang pasir, manfaatnya ada tapi kurang merata faedahnya, Duri dan onak mudah melukakan dan menyakitkan sesiapa yang ingin menumpang teduh di bawahnya, dengan alasan untuk mengubat kejahilan, hakikatnya hujah dan tohmah berjalan seiring. Ada yang tertipu, biarlah redha dalam paksa demi mencari silauan kebenaran di fatamorgana, ghurur dalam pakaian elitis, ada jua yang tak mahu ambil tahu, katanya masih belum sampai seru, nantilah dulu malas nak kusut-kusut memikir, halal haram boleh tunggu, pintu taubat masih boleh menunggu.



Ada pula yang mahu melihat dari persepsi diri, kalau sesuai ikut menari, kalau tidak baling kerusi, maklumlah dasar hidup demokrasi liberisasi, to be or not to be. Jangan lupa hidup ini punya Ilahi, Tuhan Yang Maha Mengetahui.



Arus ekonomi pun tak kurang hebatnya mengisi tentatif hidup komuniti. Dari sumber media hingga forum kedai kopi, turun naik saham dan petunjuk ekonomi, gst dan harga komoditi sampailah kepada debat royalti, isu PPRT, bonus dan gaji, muktamadnya borang polisi insuran ramai yang mengisi, dalam memikirkan kelangsungan hidup yang tak menentu buat diri dan keluarga sendiri. Alternatif lainnya PERKESO dan KWSP. Itupun kalau masih berbaki.



Para murabbi selalu mengingatkan; hidup ini jangan leka, muraqabah Allah sentiasa ada di mana-mana, carilah redhaNya setiap masa, harapan pada manusia kita kan mudah kecewa, mintalah pada Yang Maha Esa, pasti hati rasa tenang dan bahgia.

0 Response to "HIDUP DAN PERSEPSI"

Catat Ulasan

Powered by Blogger