BILA AGAMA DARI AKAL

Kembali lagi setelah lama tak update blog ni, penuh habuk dn sesawang, maklumlah lama ditinggalkan.

Namun begitu masa tetap perjalan, umur dunia semakin tua, menyaksikan kerenah bani manusia yang tak jemu-jemu dalam kelekaan dan kebinasaan.

Isu terbaru di Malaysia, dalam kehangataan banyak pihak menunggu dan meneka bilakah tarikh keramat pilihanraya umum ke 13 akan menjelma, kita diwarnai dengan isu golongan perosak Islam yang mengibar panji-panji fitnah atas nama LIBERALISME ISLAM.

Selepas isu LBGT yang cuba digunakan untuk mencemarkan dan merosakkan kredibiliti beberapa sakhsiah yang menjadi ikon dalan elemen polotik di Malaysia, siri serangan dan propaganda yang terbaru diteruskan, kali ini dengan seorang yang bernama Irshad Manji.

Kenyataan demi kenyataan disebarkan, samada yang berbentuk kontra dengan kehadiran beliau, tak kurang juga yang berbentuk pro. Kalau dilihat secara logiknya, isu ini umpama wayang kulit yang dimainkan oleh tok dalang di sebalik tabir, bebayang yang bergerak disela selikan dengan suara yang berbagai tona dari pelaku yang sama, turut diprovokkan dengan paluan rebana dan tiupan serunai,

Beberapa hujah bodoh kedengaran seperti gay dan lesbian juga ciptaan manusia dan sebagainya. Kanak-kanak pun dapat menepisnya dengan berkata babi juga ciptaan tuhan tapi tetap haram hukumnya.

Sebenarnya isu yang bersifat liberalism seperti ini sudah lama beredar dalam urat nadi masyarakat Islam terutamanya di Malaysia, Cuma mungkin tokoh utamanya orang tempatan maka ianya agak kurang menonjol, hanya segelintir sahaja yang mengambil perhatian dan akhirnya ia menjadi “bising di kuala sepi di muara” , sementelah pula memang menjadi budaya pemberitaan kita yang hangat-hangat taik ayam, cepat sejuknya.

Sebelum ini kalau kita masih ingat bagaimana sensitivity umat Islam diusik seperti isu janggut nabi, kononya pada zaman baginda s.a.w. pisau cukur belum ada dan kesibuka berdakwah menyebabkan baginda s.a.w. dan para sahabat tidak sempat untuk bercukur.

Begitu juga kritikan keatas kitab tafsir dari ulamak muktabar yang didakwa sudah lapuk dan perlu dilakukan semakan semula.

Jangan lupa isu-isu yang menjadi bahan jenaka seperti pelaksanaan hudud, hokum faraidh, tudung, purdah, poligami dan banyak lagi yang dilabelkan sudah relevan dan lapuk, kononnya akan berlaku penindasan dan kolot.

Inilah natijahnya apabila agama dipinggirkan, penafsiran berdasarkan logik akal, berlandaskan liberalisasi yang bersandarkan nafsu dan kepentigan diri.

Bagi mereka jika sunnah diimplementasi maka umat Islam akan jauh keinggalan berbanding umat idealism yang lain. Kemajuan dan kemodenan hanya akan dicapai apabila ekonomi kita kuat dan gaya hidup kita parallel dengan bangsa yang diperakui maju materialismnya.

Untuk menjawabnya dengan terprinci mungkin akan menjadi berjela panjangnya dan banyak yang perlu disingkapkan. Namun sebagai menangkis persepsi negatif ini sebenarnya kita perlu kembali kepada asas yang ditihggalkan oleh Allah dan rasulNya iaitu memahami intipati al-Quran dan sunnah nabi s.a.w.

Pernahkah kita mengetahui bahawa dalam silibus pengajian rabbani ada disiplin ilmu seperti usul fiqh yang menerangkan bagaimana sesuatu hukum terhsil, maqasid syariah yang mendedahkan justifikasi bagi setiap hukum yang diimplementasi dan senagainya, yang membuatkankan kita kembali kepada firman Allah s.w.t. dalam surah ali imram ayat 191:


“tuhan kami tidaklah kau ciptakan ini semua sia-sia,
Maha suci engkau, maka selamatkanlah kami dari api neraka”


BANDAR SERI PUTRA, BANGI MEI 2012

Cukup-cukuplah menyokong kebatilan wahai Ilmuan

بسم الله الرحمن الرحيم
Terusik hati ini apabila membaca beberapa respon dari golongan yang punya kemampuan dan diberi Allah kesempatan dan ruang untuk menyaluri pendapat dan fikiran di saluran media dan massa terkini.

Antaranya menyentuh isu terkini tentang tindakan yang hangat mengetuk minda sedar rakyat Malaysia, bumi bertuah yang tercinta ini. Tampak jelas pertembungan aliran pemikiran, menguji sanubari setiap yang masih hidup keinginan untuk mencari kebenaran.

Allah menguji diri kita yang sering mendakwa beriman, dengan lidah yang petah berpidato, menguliti ayat-ayat berbunga cinta dengan lukisan pelangi mewarnai minda audien, adakalanya rasa lebur hati dibajai kelunakan patah-patah perkataan yang bersulam.

Pemilik lisan ini teruji kali ini, diukur keikhlasan dan kejernuhan hatinya untuk melihat dan mengenali lakaran pawarna di ufuk kehidupan yang terbentang di depan mata. Melihat dan megenal fajar shodik atau kaazib. Mengenal lembayung dan syafaqul ahmar.

Malulah kalau hati-hati yang mendakwa dan merasakan ianya beriman dan mengasihi Allah dan Rasul menuturkan fatwa-fatwa yang kelam dan kabur, hanya kerana desakan perut yang takut kelaparan, nafsu yang menggelojak mahukan perhatian dan sanjungan. Teganya lisan-lisan ini menegakkan kebatilan, menyerkup pandangan dari bashirah kebenaran.

Cukup-cukuplah wahai yang menggelar dirinya ilmuawan, sanggup kamu memalsukan fakta kebenaran dengan ilusi palsu. Tak takutkah kamu untuk menjawab di hadapan Allah nanti kenapa sanggup bersekongkol dengan kebatilan demi sesuap nasi sepinggan rezeki.

Di manakah haramnya dalam menegakkan kebenaran, di manakah salahnya menyuarakan isi hati membantah kebatilan, di manakah silapnya jika mahu berusaha untuk membersihkan jelaga-jelaga hitam yang mengotorkan minda kehidupan masyarakat dan sistem negara.

Apakah halal menggambarkan keamanan dengan huru-hara, apakah kebenaran ini dengan memutar belitkan fakta dengan gambaran palsu yang penuh negatif, hanya untuk menjaga kepentingan dan tembolok yang tak pernah kenyang. Apakah akan tercapai kebaikan dengan penipuan dan kekejaman.

Bukankah Rasulullah s.a.w. menyuruh kita menegah kemungkaran dengan lisan, tangan dan hati. Bukankah Rasulullah s.a.w. melabelkan golongan yang membisukan dirinya dari suara kebenaran sebagai Syaitan-syaitan yang bisu?

Apakah tidak pernah Rasulullah s.a.w. mengajar seorang sahabatnya r.a. supaya memprotes sikap jiran yang sentiasa menyakitinya dengan meletakkan barang-barangnya di tengah jalan supaya setiap yang lalu lalang dapat melihat dan mengetahui sikap jirannya itu?

Al-Juwainy tidak salah pabila mengharamkan perhimpunan yang mendatangkan mudharat. Yang salah ialah interpretasi palsu yang salah meletakkan sumber kemudharatan itu dari siapa sebenarnya, yang berhimpunkah atau yang takutkan perhimpunan itu.

Cukup-cukuplah menggunakan lidah dan lisan yang Allah berikan untuk memutar belit dan menipu. Yang benar tetap benar, yang batil tetap batil, malulah dan insaflah.

Moga Allah bersama golongan yang sabar dengan ujian dan mehnah perjuangan ini.


Bangi,
Sha'aban/8 Julai '11

Kembali

AssalamualaikumSegala puji buat Allah Maha Penncipta Yang berkuasa dan Menentukan segala-galanya.
Maaf kerana lama tak upate post di sini, banyak yang berlaku dan berjalan, dengan penuh pengisian dan pengalaman yang tak ternilai dek wang ringgit, nantilah dengan keizinan Ilahi akan menyusul cerita dan berita.

RAYA HAJI DATANG LAGI

DALAM KESIBUKAN MELADENI KEHIDUPAN DUNIA INI TAK SEDAR CEPATNYA PERJALANAN MASA, DALAM SEMINGGU LAGI AKAN TIBA RAYA HAJI ATAU AIDIL ADHA. TAK LAMA LEPAS TU PULA ANAK SAUDARA NAK BERTUNANG. BEBERAPA HARI LEPAS ADA DUA BEKAS PELAJAR DATANG MEMBAWA KAD JEMPUTAN MAJLIS PERKAHWINAN MEREKA PADA HUJUNG MINGGU DEPAN. MASYA ALLAH, BANYAKNYA PENGISIAN AGENDA HIDUP INI.

MINGGU LEPAS, SEDANG DALAM PERJALANAN DARI BANGI KE SHAH ALAM RUMAH KAKAK, ISTERI TERSAYANG BERCERITA TENTANG KENANGAN HIDUP KAMI SEMASA DI BAGHDAD DULU. KATANYA,"ALHAMDULILLAH, BILA TERINGAT AKAN MASA LALU DI BAGHDAD DULU DAN KEADAAN NEGARA ITU TERKINI YANG DILANDA BAHANA PEPERANGAN, RASA INSAF DAN BERSYUKUR ATAS RAHMAT ALLAH YANG MAHA BESAR, MAHA KAYA YANG TELAH MEMBERI PELUANG NTUK MENIKMATI HIDUP DI MALAYSIA INI.

BALASUNGKAWA BUAT SEORANG PEJUANG







Kehidupan dan kematian, sunnah kehidupan yang berulang, setiap yang bermula pasti kan ada penghujungnya. Cuma yang tak dapat dipastikan bilakah penghujungnya itu. Bertemu dan berpisah adat kehidupan, tak terkecuali sesiapa pun yang menjalani kehidupan di dunia yang sementara ini.

Dalam sekitar jam 2.15 petang semalam (14 Jun 2010) seorang teman lama menghantar sms yang berbunyi, “Ust Hassan Syukri meninggal dunia petang tadi 2pm di hospital Selayang, Al-Fatihah”. Rentetan itu bertalu talu datang sms dan talipon dari beberapa kenalan yang lain.

Saya kemudian menghubungi seorang teman yang sama belajar dulunya dan sekarang aktif dalam perjuangan parti, Ustaz Amran An-Nahrain. Beliau mengesahkan berita tersebut dan memberitahu yang jenazah masih di hospital Selayang dan akan di bawa pulang ke Taman Melewar, rumah dan markaz perjuangan al-Marhum Ustaz semasa hidupnya. Berita itu dikuatkan lagi oleh Ustaz Norhan Hamsi seorang bekas pelajar Mesir dan dan sekarang antara tenaga penggerak dibelakang penubuhan Kolej Universiti Zulkifli Mohammad (KUIZM) yang bakal beroperasi di Taman Melewar (bersebelahan rumah Al-Marhum Ustaz Hassan, nampaknya tak sempatlah beliau untuk hadir pada hari pembukaannya nanti).

Masih terimbau lagi kenangan kali pertama saya berjumpa dengan al-fadhil ustaz Hassan Syukri iaitu sekitar pertengahan tahun 1992. Petang itu saya pergi ke pejabat agung Pas Taman Melewar bersama seorang rakan cikgu Zainuddin untuk berjumpa dengan al-Fadhil Ustaz setelah dicadangkan oleh seorang bekas pelajar Malaysia di Pakistan, Abu Faruk. Saya sebenarnya bercadang untuk mencari tapak pengajian di Pakistan setelah habis STA (Sijil Tinggi Agama selepas Empat Thanawy keluaran Majlis Agama Perak, pada masa itu belum ada STAM).

Pertama kali sampai ke Taman Melewar mata saya terlihat papan tanda kecil di pangkal jalan, “Lorong Haji Hassan”. Kaki terus melangkah walau hati merasa was-was, betul ke ini Pejabat Agung, begitu sederhana sekali, tak segah namanya (dalam mentaliti sebagai remaja ketika itu), betul ke ini pusat parti Islam yang menempatkan pimpinan yang hebat, selalu dikunjungi oleh pimpinan gerakan Islam bertaraf dunia?

Sedang kami termangu-mangu di depan pintu pejabat, tiba-tiba al-marhum Ustaz datang dari belakang menegur kami, “antum nak jumpa siapa?” Masih segar lagi di kotak minda ini melihat perawakan beliau yang begitu bersahaja dan tutur bicaranya yang begitu bersahaja. Terdetik lagi di hati, betl ke ini orangnya yang selalu keluar dalam surat khabar Harakah tu?

Setelah memperkenalkan diri dan memberitahu tujuan kedatangan kami beliau terus mengajak kami masuk ke dalam dan naik ke pejabatnya di tingkat atas. Beliau terus menaip sendiri surat tazkiah kepada pimpinan Jamaat Islami Pakistan dan sepucuk lagi yang bersifat umum sebagai membantu saya semasa mencari tempat pengajian di Pakistan nanti, tanpa banyak soaljawab (dan jelasnya tanpa sebarang curiga.)

Walaupun tempoh masa pertemuan itu tidak begitu lama (lebih kurang sejam lebih) tapi detik itu begitu bermakna dalam kamus hidup ini.

Pertemuan seterusnya apabila saya balik dari Pakistan dua tahun selepas itu, juga kerana jasa baik Al-Marhum yang menguruskan kemasukan saya dan beberapa teman lain untuk meneruskan pengajian kami di Baghdad. Petang itu, selepas menalipon Al-Fadhil Ustaz sebelumnya saya sampai lagi ke taman Melewar, kali ini terus ke rumah beliau yang bersebelahan Pejabat Agung. Selepasa memberi salam beberapa kali tak ada yang menjawabnya. Rupa-rupanya tiada orang di rumah semasa itu, tiba-tiba beliau muncul dari arah pejabat Dewan Ulamak, baru lepas memotong rumput di kawasan lapang belakang Pejabat Agung rupanya. Masih lagi dengan penampilan beliau yang begitu bersahaja.

Kami berbincang tentang persiapan dan perkara yang berkaitan dengan pengajian di Baghdad nanti. Banyak nasihat dan pesanan yang telah beliau berikan. Dua bulan selepas itu saya dan enam bakal pelajar yang lain telah berangkat ke Baghdad melalui Jordan. Di lapangan terbang Jordan kami disambut oleh Ustaz Abdul Latif (sekarang YB) merupakan senior kami.

Selepas itu hubungan kami dengan Al-Fadhil Ustaz berterusan, beliau begitu sinonim dengan Baghdad, generasi pelajar Malaysia di Baghdad seterusnya kebanyakannya melalui beliau, begitu juga sesiapa yang berhajat atau mencari maklumat mengenai pengajian di Baghdad maka Al- fadhil Ustaz Hassan Syukrilah tempat rujukannya. Kami juga menyalurkan maklumat terkini berkenaan urusan kemasukan dan pengajian di Baghdad kepada beliau dari semasa ke semasa. Ustaz Hassan seperti bapa kepada pelajar Malaysia di Baghdad.

Pada musim panas tahun 1995 Al-Fadhil Ustaz Hassan bersama rombongannya telah datang ke Baghdad, masih ingat lagi ustaz meminta kami menukar duit dua ribu USD kepada empat juta lebih dinar Iraq untuk disumbangkan kepada golongan yang memerlukan melalui kementerian Wakaf Iraq. Selepas itu barulah kami tahu rupa-rupanya menteri Wakaf Iraq ketika itu adalah rakan sekelas Al-Fadhil Ustaz semasa belajar di Baghdad Universiti dulu.

Hubungan saya dan kawan-kawan dengan Al-Marhum berterusan, setiap kali balik bercuti hinggalah setelah habis pengajian. Saya merasakan hubungan kami bukan atas dasar parti tapi kerana jasa Al-Marhum yang merupakan sebab kami berpeluang untuk mencipta sejarah kehidupan di bumi Baghdad. Malahan setiap kali datang tetamu dari Baghdad saya pasti akan membawa berjumpa dengan beliau. Jelas keceriaan di wajahnya setiap kali mengimbau kenangan di Baghdad. Bagi yang pernah sampai dan duduk di sana pasti dapat merasakan betapa indah dan bertuahnya Baghdad, walaupun dalam suasana sekatan ekonomi antarabangsa. Hanya Allah jualah yang membalas segala jasa dan budi baik insan yang bernama Hassan Syukri ini.

Semalam semasa menatap wajah Al-Marhum Ustaz Hassan Syukri yang begitu tenang, Terkilan dan sendu jua hati ini apabila pesanan beliau yang terakhir dua bulan dulu melalui abang saya Hj Bostammi untuk berjumpa saya tak tertunai. Moga Allah s.w.t mengampuni segala dosa-dosa seorang pejuang yang sarat dengan pengalaman dan pengorbanan ini namun begitu merendah diri dalam personalitiya.

Takziah di ucapkan kepada isteri dan keluarga Al-Marhum, moga bersabar dan redha akan pemergian beliau, dan takziah juga kepada PAS atas pemergian pemimpin dan pejuangnya yang tetap istiqomah hingga ke akhir hayat beliau walaupun ramai yang seangkatannya yang telah tersungkur di pintu dunia. Moga Allah s.w.t. menempatkan ruh Al-Marhum Ustaz Hassan Syukri berada di dalam saf teman seperjuangan beliau yang sedang tersenyum gembira menerima kedatangannya seperti AlFadhil Ustaz Fadhil Nor, Dr. Burhanuddin Helmi, Hassan Al-Banna, Syed Qutb dan lain-lain.

AL-FATIHAH


Mohd Mustaffa Jusoh, Bangi

Umat Buih

Dalam kelekaan kebanyakan kita menanti debaran kejohanan bolasepak piala dunia yang dijadualkan akan bermula pada 11 Jun ini (5 hari lagi) di Afrika Selatan, dengan berbagai karenah dan ragam dari isu penghalalan judi, tawaran pakej istimewa astro hinggalah pada spekulasi dan ramalan pasukan mana yang lebih kuat dan sebagainya, sekoyong-koyong masyarakat Malaysia khususnya dan dunia antarabangsa dikejutkan dengan peristiwa penahanan konvoi misi kemanusiaan ke Gaza bagi membantu umat Islam Palestin yang lebih tiga tahun ditindas dan disekat dari mendapat kemudahan untuk meneruskan kehidupan kemanusiaan (bahkan pada hakikatnya lebih dari tiga tahun mereka dizalimi dan dianiayai).


Ianya bermula bila tercetusnya peristiwa penahanan kapal Mavi Marmara pada subuh 31 mei 2010 yang membawa konvoi misi bantuan yang disertai oleh beberapa kumpulan hak asasi manusia antarabangsa oleh komando Israel, maka buat kesekian kalinya kerajaan haram Yahudi menunjukkan kebiadaban mereka yang tiada batasannya tanpa mengira bangsa dan agama.

Pencabulan dan kebiadaban kerajaan yang dinaungi bangsa laknat, dibuat bertopengkan alasan dan hujah yang penuh kepalsuan dan penipuan yang nyata, kata orang tua-tua,”sudah terang lagi bersuluh”. Namun malangnya buat kesekian kalinya juga lidah para penguasa yang mewakili umat Islam kelu untuk menyuarakan kebenaran, tangan-tangan mereka terbelenggu dengan rantaian diplomasi.

Hanya tentatif demonstrasi jalanan (yang pernah dilabelkan sebagai cara yang tak bertamaddun) sebagai salah satu alternatif untuk menyalurkan gelora api kemarahan selain linangan airmata yang mengiringi doa dikala bermunajat dengan Yang Maha Berkuasa dikeheningan malam.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. yang menggambarkan umat Islam akhir aman umpama buih dilautan, tak berdaya tiada kuasa penentu dunia walau bilangannya ramai.

Sebahagian besar rakyat Malaysia mungkin baru tersentak naluri mereka dengan kezaliman dan kedajalan negara haram Yahudi ini walaupun kebaculan ini sudah berabad lamanya, memakan korban yang tak terhingga dari kanak-kanak, wanita dan lelaki palestin. Para ibu sudah kering airmata, isteri dan anak-anak yang hampir putus asa mengharapkan sinar mentari harapan hari esok. Mungkin keterlibatan 12 orang rakyat Malaysia kali ini satu hikmah dalam mencetuskan api sensitiviti pimpinan 1Malaysia kali ini. Syukurlah kesemuanya selamat dalam peristiwa serangan yang memakan korban itu. Moga saudara-saudara kita ini kembali dengan membawa obor untuk menyemarakkan api keinsafan dan kebenaran demi menjulang kebenaran.

Israel yang sudah mangli dengan kejahatan dan kekejaman terus konsisten dengan kebaculannya, yang terbaru kapal Rachel Cory yang membawa misi konvoi yang sama ditahan lagi,kali ini enam orang lagi rakyat Malaysia termasuk antara yang ditahan. Senario yang hampir serupa dan rasanya respon yang hampir serupa juga akan diberi; kutukan dalam diplomasi, demonstrasi dan apa-apa yang sewaktu dengannya.

Sebagai seorang muslim, kita mesti yakin bahawa kebenaran pasti kan menjelma kerana itulah janji Allah Yang Maha Mengetahui dan Yang Menentukan segalanya. Setiap kita perlu muhasabah dan menilai semula di mana kesilapan dan kelemahan. Perlu memikirkan apa yang perlu dalam membaiki diri dan masyarakat. Setiap individu perlu ada oeranan dan sumbangan demi menjulang ruh Islam dan Jihad. Cepat atau lambat hanya Allah yang Maha Mengetahuinya dan ketentuan ditangan Nya jua.

Malulah kita pada burung yang menggunakan paruhnya mengangkat air demi menyelamatkan perjuangan tauhid yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s., pada anjing yang berkorban menjaga pintu gua pemuda ashabul kahfi yang bersembunyi demi menyelamatkan akidah mereka, pada labah-labah yang bekerja keras menutup pintu gua dengan sesawang demi melindungi jejak perjuangan saidina Rsulullah s.a.w., sedangkan kita masih enak lena dibuai dunia dan fatamorgananya.

Ramai yang sanggup berhabis demi kepuasan piala dunia, bangkit di malam hari menyokong pasukan kegemarannya walaupun tak seorng pun ahli pasukan tersebut yang mengenalinya. Berapa ramai yang sanggup berkorban sedikit demi kepentingan Islam dan kedaulatan Iman, bangun di malam hari bemunajat pada Tuhan Penciptanya. ari Allah kita datang dan kepadaNya kita pasti kembali. Fikir-fikirkanlah.





Powered by Blogger