BILA AKAL UKURAN UNTUK MENGENAL TUHAN من عرف نفسه فقد عرف ربه


Lumrah kehidupan manusia, pasti mencari apa yang lebih hebat dan besar dari dirinya. Ada yang menjadikan ianya ikutan, panduan, rujukan hinggalah ke peringkat yang tertinggi dalam istilah kemanusiaan yang disebut sebagai ketuhanan.

Mengimbau semula pengembaraan nabi Ibrahim عليه السلام dalam mencari tuhannya sebagaimana yang disebut dalam surah الأنعام ayat 75 hingga 79


75. dan Demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang Yang percaya Dengan sepenuh-penuh yakin.


76. maka ketika ia berada pada waktu malam Yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada Yang terbenam hilang".

77. kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), Dia berkata: "Inikah Tuhanku?" maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika Aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah Aku dari kaum Yang sesat".

78. kemudian apabila Dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? ini lebih besar". setelah matahari terbenam, Dia berkata pula: ` Wahai kaumku, Sesungguhnya Aku berlepas diri (bersih) dari apa Yang kamu sekutukan (Allah dengannya).

79. "Sesungguhnya Aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah Yang menciptakan langit dan bumi, sedang Aku tetap di atas dasar Tauhid dan bukanlah Aku dari orang-orang Yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain)".

Akal dijadikan sebagai wadah untuk memproses maklumat yang didapati hasil pemerhatian di sekeliling kehidupan manusia itu. Medium dapatan maklumat samada dengan mendengar, melihat, merasa, merenung, memikir dan apa-apa saja yang dianugerahkan Allah U .

Lantaran itu akal perlulah dijaga agar tidak rosak pengaturcaraannya semasa memproses dan mencernakan sesuatu maklumat. Banyak virus yang sentiasa mengintai peluang untuk merosakkan atau sekurang-kurangnya menyelewengkan landasan pemikiran akal. Itulah janji iblis laknatullah kepada tuhannya semasa dihalau dari syurga. Dalam memahami dan mengenal konsep ketuhanan dalam Islam, berakal atau waras dalam pemikiran adalah prasyarat yang penting bagi setiap individu selain baligh. Golongan yang tidak sempurna akalnya tidak ditaklifkan untuk melaksanakan syariat Allah, kerana zahirnya dia tak dapat memproses kefahaman dalam mengenal Allah.



Golongan yang berakal dalam mengenal Allah Y tuhan penciptanya menerusi ciptaanNya disebut dalam Al-Quran sebagai ulul albab sebagaimana dalam ayat 190 hingga 191 surah آل عمران berikut :
190. Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal;


191. (Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.

Di sini ingin saya berkongsi beberapa kisah yang benar-benar berlaku dalam menelusuri kehidupan di dunia yang sementara ini, moga dapat menambah khazanah maklumat yang sedia ada dan membantu dalam memahami beberapa persoalan ketuhanan dan kehidupan.

π1. Kisah ini berkisar pada perbualan saya dengan seorang lelaki tentang pemahaman ketuhanannya.
Baru-baru ini rumah saya didatangi oleh seorang lelaki cina dalam usia 60an, untuk membaiki dapur gas yang tersumbat hingga apinya menjadi terlalu kecil. Kebetulan waktu itu pagi Jumaat dalam pukul 11pagi. Saya beritahu supaya jangan lewat hingga pukul satu kerana saya perlu pergi solat Jumaat. Katanya kerjanya akan habis sebelum pukul satu (tanpa
إن شاء الله tentunya). Kemudian katanya tak mengapa kalau saya hendak pergi masjid nanti sebab isteri saya ada di rumah, "jangan takut la, saya sudah tua," hujahnya.

Dalam hati berbisik, beginilah jadinya kalau akal jadi pegangan tanpa panduan rabbani. "Bagi awak orang itu macam biasa, tapi kita orang Islam tak boleh tinggal isteri sama orang asing, itu integriti yang mesti jaga punya" jawab saya cuba menerangkan pada beliau, harap-harap jadi pengajaran kalau dia pergi ke rumah orang lain di masa depan.

"Ooo, itu macam ka, selalu saya biasa pegi rumah orang melayu tarak apa pun?" katanya lagi. "Itu orang melayu, saya orang Islam," saya jawab dalam nada bergurau. Dia menyambutnya dengan ketawa, tak taulah kerana faham atau cuba menutup tajuk bicara.

Kemudian dia bertanya, kalau sembahyang di rumah bukankah boleh. Saya jawab memang boleh untuk solat waktu tapi solat Jumaat mesti di masjid. Dia nampak berminat untuk bertanya lagi, katanya, "kenapa you orang sembahyang banyak-banyak, sampai tujuh kali satu hari?". Tergelak saya dalam hati, malang sungguh, walau dah lebih enam puluh tahun hidup di dalam lingkungan masyarakat melayu orang sebegini masih begitu kurang jelas perihal Islamnya. Mungkinkah kerana memang ianya bukan sau keperluan untuk tahu atau kegagalan itu datang dari masyarakat yang lalai untuk menjadi umat contoh.

"Kita orang Islam sembahyang lima kali satu hari," cuba untuk membetulkan persepsi beliau. "Apasal sembahyang banyak-banyak, satu kali cukup la, tuhan tahu apa kalau kita buat baik," dia cuba untuk mengumpan sensiviti saya. "Betul, tuhan tahu kalau kita buat baik tapi bila tuhan sudah suruh kita mesti buat, orang Islam mesti patuh sama suruhan tuhan," saya sengaja mengulang-ngulang perkataan orang Islam supaya dia keluar dari persepsi lama versi melayu yang nyata sudah dicemari virus. "Kenapa bila tuhan suruh lima kali kita buat satu kali saja, tapi bila makan kita mau lebih tiga kali, satu kali cukup la, tuhan tahu kita makan," saya menanti jawapan tapi nampaknya dia hanya menganggukkan kepala saja. "You ada anak ka Mr. X ?" "Ada empat orang, semua sudah ada kerja, ada family" pantas jawabnya. "Ok la kalau you punya anak balik rumah sesekali saja, itu pun pasal ada masalah baru mau jumpa sama you, mau pinjam duit ka, mau minta itu ini ka, apa you fikir?" saya mula bertanya lagi. "Ooo, tentu la saya marah, tarak guna punya anak, sudah susah baru mau ingat," bagai pucuk dicita ulam mendatang jawapannya itu. "Jadi itu you sebagai bapa pada anak, itu macam rasa tak patut, sekarang sama tuhan, bila susah baru mau ingat, baru mau minta tolong, masa senang you lupa, you makan Dia punya rezeki, you guna Dia nikmat, tapi you lupa sama Dia, itu macam ada patut ka?" buat kesekian kalinya saya cuba mengetuk mindanya.

"Ya la, you cakap banyak betul la, sudah susah baru mau ingat tuhan, masa senang banyak lupa, haiyya, banyak bagus la you." Akhirnya setelah kerjanya siap sebelum pukul satu sebagaimana yang dijanjikan, dia pun mengemas barang-barang dan minta diri. Selepas membayar perkhidmatannya sebagaimana yang dijanjikan (tanpa diskaun walaupun berkali-kali diminta) saya mengucapkan terimakasih dan berkata jika ada kawan-kawan saya orang Islam yang memerlukan perkhidmatanya bolehah saya beri cadangkan. Katanya tak perlulah sebab dia pun sudah jarang menservis dapur lagi, kebetulan hari itu dia ada masa jadi dia datang ke rumah saya.

π2. Kisah ini berlaku semasa saya masih belajar di Baghdad. Semasa cuti musim panas saya telah pergi ke Jordan yang merupakan satu-satunya jalan alternatif untuk kami pelajar Malaysia di Baghdad pada masa itu ( sekitar 1999 ke 2000) jika mahu pulang ke Malaysia atau ke destinasi lain. Saya menaiki bas dari Mafraq ke Amman. Maklumlah perawakan dan penampilan seorang pelajar melayu yang seadanya, berjalan di perantauan yang asing . Dalam bas dipenuhi penumpang tempatan itu saya duduk di bahagian belakang sekali, kebetulan kosong. Saya kemudianya didatangi seorang lelaki arab yang pada mulanya duduk di kerusi depan bersama isteri dan anak kecilnya. Beliau menyapa dan bertanya saya dari mana, nampak cuba untuk memulakan perbualan. Keramahannya saya sambut dengan baik, beliau seolah-olah nya terkejut (atau mungkin strateginya untuk menarik hati saya) bila mendapati saya berbahasa arab, katanya jarang dia mendengar orang asing boleh berbahasa arab. Saya terperasan rantai salib di lehernya, antara tanda yang dapat membezakan orang Kristian di sana, kerana selalunya nama dan percakapan hampir sama dengan orang Islam, hatta salam.

Beliau bertanya, kenapa belajar di Baghdad, kenapa tidak di Jordan. Saya berseloroh kalau semuanya ke Jordan siapa yang akan tinggal dan mempertahankan Baghdad. Dia cuba mencungkil minat saya apabila berkata yang walaupun sebagai seorang kristian tetapi dia banyak membaca dan minat untuk mengkaji Al-Quran, kitab pegangan umat Islam. Saya menjawab muga keikhlasannya akan menjadikan beliau manusia yang baik dan mengenal kebenaran dan seterusnya mendapat petunjuk ke jalan yang benar.


Dia bertanya apakah sebagai seorang penuntut pengajian Islam saya tak punya minat untuk membaca da mengkaji agama kristian. Saya jawab memang kami punya tanggung jawab untuk mengetahui dan mendapat maklumat berkenaan agama-agama lain, bukan sekadar kristian sahaja, cuma kami perlu mendalami Islam dahulu. Dia bertanya lagi, kenapa perlu mendalami Islam untuk mengetahui agama yang lain. Saya menjawab yang dengan memahami dan mendalami dan memahami Islam saya akan mamahami di mana kepincangan agama lain dari sudut akidah dan ketuhanan.

Perbahasan mula panas, saya perasan juga yang suasana dalam bas agak senyap, hanya suara kami berdua yang kelihatan mendominasi ruang dalam bas ketika itu. Radio di tempat pemandu yang tadinya terpasang juga tidak kedengaran lagi.

Lelaki itu cuba membangkitkan sentimental agamanya dengan bercerita bagaimana kristian meletakkan Isa al-Masih sebagai penyelamat umatnya dengan mengorbankan dirinya sendiri di palang salib, umpama seorang yang menenggelamkan dirinya supaya jiwa-jiwa yang lain yang beriman kepadanya tidak tenggelam sama. Ini adalah kerana menurut perintah tuhannya. Lantaran pengorbanan besarnya itu dia diangkat menjadi tuhan anak. Barang siapa yang tidak beriman dengan Al-Masih maka tidak termasuk dalam golongan yang diselamatkannya itu.


Saya nampak peluang untuk memintas hujahnya ketika itu. Saya berhujjah, kalau begitulah tuhan kamu jelas tidak bijak. Nampak dia terkejut dengan kata-kata itu. Saya meneruskan lagi bahawa tuhan Maha Pencipta perlulah juga Maha Bijaksana, bagaimana mungkin untuk menyelamatkan yang orang lain dari tenggelam dia mengorbankan dirinya, sepatutnya dia mengajar bagaimana untuk berenang dengan sebaik-baiknya supaya tidak tenggelam, begitu juga pengorbanan seorang penyelamat bukanlah dengan membinasakan dirinya tetapi dengan memandu dan menunjuk jalan yang benar kepada pengikutnya.



Di sinilah bezanya Islam, yang mengiktiraf Isa Al-Masih sebagai seorang nabi lagi rasul yang menunjukkan jalan yang lurus dalam mengenal tuhannya. Saya terangkan padanya Islam tidak menolak akan kewujudan dan kenabian Isa Al-Masih, bahkan baginda merupakan saudara kenabian kepada Rasulullah s.a.w. Islam menolak pemesongan akidah yang menjadikan Isa dan ibunya Maryam Az-Zahra' sebagai tuhan hingga membentuk trinity sebagaimana yang di imani oleh penganut kristian hari ini. Bahkan sejarah kerasulan Isa Al-Masih dan ibunya serta pemesongan akidah kaum nasrani dengan mengubah injil jelas diceritakan dalam Al-Quran. Islam tidak menerima hujah akal semata-mata tanpa bersandarkan kepada dalil nas dari Al-Quran dan hadith nabi.


Beliau kelihatan agak terkedu dengan kata-kata saya, jelas terperanjat apabila mendengar yang kisah Al-Masih ada diceritakan dalam Al-Quran. Dakwaan awalnya tadi bahawa dia minat membaca Al-Quran jelas satu taktik untuk mempengaruhi minda saya. Agak panjang juga perbualan kami selepas itu, antaranya dia cuba menyentuh tentang kenapa perlu ada berbagai mazhab kalau betul Islam itu satu, kenapa umat Islam berpecah kalau betul akidahnya satu dan kenapa dalam Al-Quran sendiri perlu ada penafsiran yang berjela-jela dan bacaan yang berbeza-beza (qiraat).

Semuanya saya jawab dengan sebaik mungkin, syukur kerana pada masa itu terasa الله سبحانه وتعالى telah membuka minda saya, dengan rasa lapang idea dating mencurah-curah menjawab persoalan yang dikemukan oleh lelaki itu. Saya jawab pelbagai mazhab adalah bukti fleksibiliti Islam, bagaimana sumber yang sama memberi ruang yang cukup luas untuk berfikir, itu tanda agama kami tidak jumud. Al-Quran masih utuh keasliannya sebagaimana yang diwariskan oleh rasulullah s.a.w. Landasan yang tetap sama, Allah itu Esa dan Muhammad itu rasulNya. Sila tunjukkan bukti perbezaan mazhab membawa kepada perpecahan akidah kami selama ini. Perpecahan umat Islam lantaran kejahilan dan jauh dari agama, ditambah lagi provokasi musuh yang sering berusaha untuk memburuk-buruk dan menghancurkan Islam sejak awal lagi, paling dekat Israel yang berjiran dengan Jordan. Namun Allah menjanjikan kemenangan pasti di tangan Islam walaupun kalah di medan juang, dan janji Allah itu pasti. Penafsiran dan qiraat itu bukti bahawa Al-Quran itu bukan karya Muhammad s.a.w. tapi datangnya dari Yang Maha Bijaksana, tak berubah sedikit pun maksud dan makna walau berbagai penafsir dan bacaannya. Indahnya bait-bait dan alunan menyentuh lubuk hati yang mencari keindahan hakiki. Sila baca tafsir yang ada dan sila dalami makna ayat-ayatNya jika mahu menikmati keindahan yang terkandung. Pernahkah ada penafsiran dan bacaan yang berbeza bunyi dan maksudnya dikalangan bangsa yang berbagai ini?


Perbualan kami terhenti apabila lelaki itu meminta diri untuk turun lebih kurang sepuluh minit sebelum sampai ke Amman. Katanya muga jumpa lagi. Selepas dia dan keluarganya turun, hampir kesemua penumpang yang duduk di depan berpaling dan mengucapkan tahniah dan terimakasih atas jawapan yang saya telah berikan kepada lelaki kristian itu tadi. Rupa-rupanya hampir kesemua mereka memasang telinga mendengar perbualan kami, bahkan pemandu bas pun mendengarnya, sebab itu radio ditutup. Ada juga yang mula mengulas dan memberi komentar, tak kurang juga yang mengutuk lelaki tadi. Dalam hati saya berkata, semasa berdepan kamu diam bila di belakang berani pula, patutlah banyak masalah menimpa negara dan bangsa kamu. Semasa turun di stesen bas Amman ada yang datang berjabat tangan, mengucapkan terimakasih dan rasa kagum bagaimana orang asing boleh mampu untuk bercerita tentang Islam sebegitu rupa. Jawab saya, inilah bukti keagungan Islam, Salahuddin Al-Ayubi juga bukan berbangsa arab. Ada juga yang mempelawa untuk makan tengahari. Saya menolak dengan baik dan mengucapkan terimakasih. Nasib baiklah tak ada yang mempelawa untuk buat menantu.

π3. Kisah ini berlaku semasa saya masih di bangku sekolah menengah, kalau tak silap sekitar tahun 1983 atau 1984. Ketika itu sekolah saya di Petaling Jaya itu dipanggil sekolah misisionary seperti Convent Bukit Nanas dan St John Institiution, di mana pengetuanya adalah seorang Brother, Father atau Sister. Ada juga tenaga pengajarnya dari golongan ini. Sekolah tersebut majoriti pelajarnya adalah cina dan sedikit pelajar india. Pelajar melayu begitu minoriti, dalam kelas saya sendiri hanya ada dua orang saja. Ada dua senario yang ingin dipaparkan di sini.


Yang pertama perbualan dengan seorang pelajar hindu tentang tuhan. Saya bertanya kenapa orang hindu tidak makan daging lembu sedangkan susunya diminum. Kawan itu menjawab kenapa saya minum susu ibu tapi tak makan dagingnya. Jawab saya, pertamanya memang susu ibu itu untuk diminum dan dagingnya pula bukan untuk dimakan, sedangkan lembu itu dicipta untuk diminum susunya dan dimakan dagingnya. Kemudian apabila saya bertanya apakah beliau meletakkan martabat lembu seperti ibunya, dia tidak menjawab bahkan terus berlalu pergi dengan marah.

Yang kedua perbualan saya dengan seorang pelajar Cina. Satu hari selepas masa pendidikan jasmani, kami duduk-duduk melepskan penat. Kawan ini tadi menunjukkan sekeping gambar foto langit. Saya masih ingat lagi ada seperti jaluran hitam di celahan awan putih. Katanya ada yang memberinya gambar tersebut dan mendakwa itulah gambar tuhan dilangit yang berada di sebalk awan. Saya bertanya adakah dia percaya bahawa itu tuhan. Dari situ dia mendedahkan bahawa sebelum ini dia tidak mempercayai kewujudan tuhan kerana tak pernah melihat bukti kehadiran tuhan. Saya bertanya lagi perlukah melihat tuhan untuk mempercayai kewujudanNya. Jawab beliau setiap yang ada di dunia ini dapat dilihat dan punya penjelasan yang logik, tentulah mustahil kalau tuhan yang mencipta tak kelihatan dan tak boleh dijelaskan kenapa tidak kelihatan.


Mujurlah sebelum itu saya ada juga mengikuti pengajian tauhid di masjid Kampong Pasir Petaling yang menceritakan tentang kewujudan tuhan. Masih ingat lagi antaranya kitab عقيدة الناجين yang diajar oleh tuan guru Hj Samin. Begitu juga seorang guru saya almarhum Pakcik Mad Lebai atau dikenali juga sebagai Us Mohammad Zakaria. Jasa mereka ini hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya.

Lalu saya pun cubalah test power sikit, maklumlah jiwa remaja yang begitu ghairah. Saya bertanya apakah udara itu ada. Jawabnya tentulah, kalau tidak kita akan mati (berdasarkan fakta sains). Kemudian saya tanya lagi, di mana letaknya udara, jawabnya di sekeliling kita. Saya bertanya lagi, adakah dia percaya akan wujudnya nyawa. Jawabnya tentulah wujud sebab itu kita hidup. lalu saya minta dia tunjukkan tempat dan bentuk nyawa yang ada padanya. Dia diam seketika kemudian menjawab, mustahil untuk menentukan kedudukan nyawa di dalam badan atau pun bagaimana bentuknya, mungkin letaknya di otak dan rupanya mengikut rupa masing-masing. Saya kata kenapa ada orang yang luka kepalanya dan dibedah tempurung kepala tapi masih hidup, kenapa ada yang mati kerana terpotong tangan atau kaki atau anggota badan yang lain selain kepala. Saya pun menimbulkan persoalan bahawa kalau nyawa sendiri pun yang ada sejak jasad ini dilahirkan masih tidak dapat kita menjelaskan di mana dan bagaimana rupanya, bagaimana kita mahu merungkai peroalan di mana dan bagaimana rupa tuhan. Itulah penjelasan logik tentang kewujudan tuhan Maha Pencipta. Saya tak ingat apa respon pelajar tersebut waktu itu tapi yang pastinya isu kewujudan secara logik sedikit sebanyak terjawab kalau dia jujur untuk mencari tuhan.


Begitulah antara yang dapat dikongsi pengalaman hidup, bukan untuk menonjolkan diri tapi sekadar menimbulkan kesedaran bahawa banyak lagi yang perlu dilakukan dalam menyedarkan manusia tentang tuhannya, agar tidak mudah tergelincir dari landasan tauhid dalam menelusuri perjalanan seorang hamba dalam menuju kepada tuhannya. Sering kita lihat bagaimana mudahnya sesuatu objek dipertuhankan. Ada pula yang keterlaluan berfalsafah dalam ketuhanan, ada juga yang begitu mudah mempersalahkan tuhan apabila ditimpa musibah.



Saya pernah mendengar pendapat dangkal yang mengatakan wanita dicipta setelah tuhan tidak berpuashati dengan kekurangan dalam penciptaan makhluk lelaki. Seolah-olahnya tuhan itu saintis yang mencari kesempurnaan dalam penciptaan. Maha Suci Allah Maha Pencipta, Maha Sempurna dari segala kekurangan dan Maha Berkuasa menentukan segalanya.

Berhati-hatilah dalam menggunakan akal untuk mengenal Allah Yang Maha Esa, agar menjadi hambaNya yang mendapat keredhaan dan keampunan, dalam kehidupan yang sementara ini, menuju pelayaran kehidupan yang abadi di sisiNya.








0 Response to "BILA AKAL UKURAN UNTUK MENGENAL TUHAN من عرف نفسه فقد عرف ربه"

Catat Ulasan

Powered by Blogger