Umat Buih

Dalam kelekaan kebanyakan kita menanti debaran kejohanan bolasepak piala dunia yang dijadualkan akan bermula pada 11 Jun ini (5 hari lagi) di Afrika Selatan, dengan berbagai karenah dan ragam dari isu penghalalan judi, tawaran pakej istimewa astro hinggalah pada spekulasi dan ramalan pasukan mana yang lebih kuat dan sebagainya, sekoyong-koyong masyarakat Malaysia khususnya dan dunia antarabangsa dikejutkan dengan peristiwa penahanan konvoi misi kemanusiaan ke Gaza bagi membantu umat Islam Palestin yang lebih tiga tahun ditindas dan disekat dari mendapat kemudahan untuk meneruskan kehidupan kemanusiaan (bahkan pada hakikatnya lebih dari tiga tahun mereka dizalimi dan dianiayai).


Ianya bermula bila tercetusnya peristiwa penahanan kapal Mavi Marmara pada subuh 31 mei 2010 yang membawa konvoi misi bantuan yang disertai oleh beberapa kumpulan hak asasi manusia antarabangsa oleh komando Israel, maka buat kesekian kalinya kerajaan haram Yahudi menunjukkan kebiadaban mereka yang tiada batasannya tanpa mengira bangsa dan agama.

Pencabulan dan kebiadaban kerajaan yang dinaungi bangsa laknat, dibuat bertopengkan alasan dan hujah yang penuh kepalsuan dan penipuan yang nyata, kata orang tua-tua,”sudah terang lagi bersuluh”. Namun malangnya buat kesekian kalinya juga lidah para penguasa yang mewakili umat Islam kelu untuk menyuarakan kebenaran, tangan-tangan mereka terbelenggu dengan rantaian diplomasi.

Hanya tentatif demonstrasi jalanan (yang pernah dilabelkan sebagai cara yang tak bertamaddun) sebagai salah satu alternatif untuk menyalurkan gelora api kemarahan selain linangan airmata yang mengiringi doa dikala bermunajat dengan Yang Maha Berkuasa dikeheningan malam.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. yang menggambarkan umat Islam akhir aman umpama buih dilautan, tak berdaya tiada kuasa penentu dunia walau bilangannya ramai.

Sebahagian besar rakyat Malaysia mungkin baru tersentak naluri mereka dengan kezaliman dan kedajalan negara haram Yahudi ini walaupun kebaculan ini sudah berabad lamanya, memakan korban yang tak terhingga dari kanak-kanak, wanita dan lelaki palestin. Para ibu sudah kering airmata, isteri dan anak-anak yang hampir putus asa mengharapkan sinar mentari harapan hari esok. Mungkin keterlibatan 12 orang rakyat Malaysia kali ini satu hikmah dalam mencetuskan api sensitiviti pimpinan 1Malaysia kali ini. Syukurlah kesemuanya selamat dalam peristiwa serangan yang memakan korban itu. Moga saudara-saudara kita ini kembali dengan membawa obor untuk menyemarakkan api keinsafan dan kebenaran demi menjulang kebenaran.

Israel yang sudah mangli dengan kejahatan dan kekejaman terus konsisten dengan kebaculannya, yang terbaru kapal Rachel Cory yang membawa misi konvoi yang sama ditahan lagi,kali ini enam orang lagi rakyat Malaysia termasuk antara yang ditahan. Senario yang hampir serupa dan rasanya respon yang hampir serupa juga akan diberi; kutukan dalam diplomasi, demonstrasi dan apa-apa yang sewaktu dengannya.

Sebagai seorang muslim, kita mesti yakin bahawa kebenaran pasti kan menjelma kerana itulah janji Allah Yang Maha Mengetahui dan Yang Menentukan segalanya. Setiap kita perlu muhasabah dan menilai semula di mana kesilapan dan kelemahan. Perlu memikirkan apa yang perlu dalam membaiki diri dan masyarakat. Setiap individu perlu ada oeranan dan sumbangan demi menjulang ruh Islam dan Jihad. Cepat atau lambat hanya Allah yang Maha Mengetahuinya dan ketentuan ditangan Nya jua.

Malulah kita pada burung yang menggunakan paruhnya mengangkat air demi menyelamatkan perjuangan tauhid yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s., pada anjing yang berkorban menjaga pintu gua pemuda ashabul kahfi yang bersembunyi demi menyelamatkan akidah mereka, pada labah-labah yang bekerja keras menutup pintu gua dengan sesawang demi melindungi jejak perjuangan saidina Rsulullah s.a.w., sedangkan kita masih enak lena dibuai dunia dan fatamorgananya.

Ramai yang sanggup berhabis demi kepuasan piala dunia, bangkit di malam hari menyokong pasukan kegemarannya walaupun tak seorng pun ahli pasukan tersebut yang mengenalinya. Berapa ramai yang sanggup berkorban sedikit demi kepentingan Islam dan kedaulatan Iman, bangun di malam hari bemunajat pada Tuhan Penciptanya. ari Allah kita datang dan kepadaNya kita pasti kembali. Fikir-fikirkanlah.





0 Response to "Umat Buih"

Catat Ulasan

Powered by Blogger