BALASUNGKAWA BUAT SEORANG PEJUANG







Kehidupan dan kematian, sunnah kehidupan yang berulang, setiap yang bermula pasti kan ada penghujungnya. Cuma yang tak dapat dipastikan bilakah penghujungnya itu. Bertemu dan berpisah adat kehidupan, tak terkecuali sesiapa pun yang menjalani kehidupan di dunia yang sementara ini.

Dalam sekitar jam 2.15 petang semalam (14 Jun 2010) seorang teman lama menghantar sms yang berbunyi, “Ust Hassan Syukri meninggal dunia petang tadi 2pm di hospital Selayang, Al-Fatihah”. Rentetan itu bertalu talu datang sms dan talipon dari beberapa kenalan yang lain.

Saya kemudian menghubungi seorang teman yang sama belajar dulunya dan sekarang aktif dalam perjuangan parti, Ustaz Amran An-Nahrain. Beliau mengesahkan berita tersebut dan memberitahu yang jenazah masih di hospital Selayang dan akan di bawa pulang ke Taman Melewar, rumah dan markaz perjuangan al-Marhum Ustaz semasa hidupnya. Berita itu dikuatkan lagi oleh Ustaz Norhan Hamsi seorang bekas pelajar Mesir dan dan sekarang antara tenaga penggerak dibelakang penubuhan Kolej Universiti Zulkifli Mohammad (KUIZM) yang bakal beroperasi di Taman Melewar (bersebelahan rumah Al-Marhum Ustaz Hassan, nampaknya tak sempatlah beliau untuk hadir pada hari pembukaannya nanti).

Masih terimbau lagi kenangan kali pertama saya berjumpa dengan al-fadhil ustaz Hassan Syukri iaitu sekitar pertengahan tahun 1992. Petang itu saya pergi ke pejabat agung Pas Taman Melewar bersama seorang rakan cikgu Zainuddin untuk berjumpa dengan al-Fadhil Ustaz setelah dicadangkan oleh seorang bekas pelajar Malaysia di Pakistan, Abu Faruk. Saya sebenarnya bercadang untuk mencari tapak pengajian di Pakistan setelah habis STA (Sijil Tinggi Agama selepas Empat Thanawy keluaran Majlis Agama Perak, pada masa itu belum ada STAM).

Pertama kali sampai ke Taman Melewar mata saya terlihat papan tanda kecil di pangkal jalan, “Lorong Haji Hassan”. Kaki terus melangkah walau hati merasa was-was, betul ke ini Pejabat Agung, begitu sederhana sekali, tak segah namanya (dalam mentaliti sebagai remaja ketika itu), betul ke ini pusat parti Islam yang menempatkan pimpinan yang hebat, selalu dikunjungi oleh pimpinan gerakan Islam bertaraf dunia?

Sedang kami termangu-mangu di depan pintu pejabat, tiba-tiba al-marhum Ustaz datang dari belakang menegur kami, “antum nak jumpa siapa?” Masih segar lagi di kotak minda ini melihat perawakan beliau yang begitu bersahaja dan tutur bicaranya yang begitu bersahaja. Terdetik lagi di hati, betl ke ini orangnya yang selalu keluar dalam surat khabar Harakah tu?

Setelah memperkenalkan diri dan memberitahu tujuan kedatangan kami beliau terus mengajak kami masuk ke dalam dan naik ke pejabatnya di tingkat atas. Beliau terus menaip sendiri surat tazkiah kepada pimpinan Jamaat Islami Pakistan dan sepucuk lagi yang bersifat umum sebagai membantu saya semasa mencari tempat pengajian di Pakistan nanti, tanpa banyak soaljawab (dan jelasnya tanpa sebarang curiga.)

Walaupun tempoh masa pertemuan itu tidak begitu lama (lebih kurang sejam lebih) tapi detik itu begitu bermakna dalam kamus hidup ini.

Pertemuan seterusnya apabila saya balik dari Pakistan dua tahun selepas itu, juga kerana jasa baik Al-Marhum yang menguruskan kemasukan saya dan beberapa teman lain untuk meneruskan pengajian kami di Baghdad. Petang itu, selepas menalipon Al-Fadhil Ustaz sebelumnya saya sampai lagi ke taman Melewar, kali ini terus ke rumah beliau yang bersebelahan Pejabat Agung. Selepasa memberi salam beberapa kali tak ada yang menjawabnya. Rupa-rupanya tiada orang di rumah semasa itu, tiba-tiba beliau muncul dari arah pejabat Dewan Ulamak, baru lepas memotong rumput di kawasan lapang belakang Pejabat Agung rupanya. Masih lagi dengan penampilan beliau yang begitu bersahaja.

Kami berbincang tentang persiapan dan perkara yang berkaitan dengan pengajian di Baghdad nanti. Banyak nasihat dan pesanan yang telah beliau berikan. Dua bulan selepas itu saya dan enam bakal pelajar yang lain telah berangkat ke Baghdad melalui Jordan. Di lapangan terbang Jordan kami disambut oleh Ustaz Abdul Latif (sekarang YB) merupakan senior kami.

Selepas itu hubungan kami dengan Al-Fadhil Ustaz berterusan, beliau begitu sinonim dengan Baghdad, generasi pelajar Malaysia di Baghdad seterusnya kebanyakannya melalui beliau, begitu juga sesiapa yang berhajat atau mencari maklumat mengenai pengajian di Baghdad maka Al- fadhil Ustaz Hassan Syukrilah tempat rujukannya. Kami juga menyalurkan maklumat terkini berkenaan urusan kemasukan dan pengajian di Baghdad kepada beliau dari semasa ke semasa. Ustaz Hassan seperti bapa kepada pelajar Malaysia di Baghdad.

Pada musim panas tahun 1995 Al-Fadhil Ustaz Hassan bersama rombongannya telah datang ke Baghdad, masih ingat lagi ustaz meminta kami menukar duit dua ribu USD kepada empat juta lebih dinar Iraq untuk disumbangkan kepada golongan yang memerlukan melalui kementerian Wakaf Iraq. Selepas itu barulah kami tahu rupa-rupanya menteri Wakaf Iraq ketika itu adalah rakan sekelas Al-Fadhil Ustaz semasa belajar di Baghdad Universiti dulu.

Hubungan saya dan kawan-kawan dengan Al-Marhum berterusan, setiap kali balik bercuti hinggalah setelah habis pengajian. Saya merasakan hubungan kami bukan atas dasar parti tapi kerana jasa Al-Marhum yang merupakan sebab kami berpeluang untuk mencipta sejarah kehidupan di bumi Baghdad. Malahan setiap kali datang tetamu dari Baghdad saya pasti akan membawa berjumpa dengan beliau. Jelas keceriaan di wajahnya setiap kali mengimbau kenangan di Baghdad. Bagi yang pernah sampai dan duduk di sana pasti dapat merasakan betapa indah dan bertuahnya Baghdad, walaupun dalam suasana sekatan ekonomi antarabangsa. Hanya Allah jualah yang membalas segala jasa dan budi baik insan yang bernama Hassan Syukri ini.

Semalam semasa menatap wajah Al-Marhum Ustaz Hassan Syukri yang begitu tenang, Terkilan dan sendu jua hati ini apabila pesanan beliau yang terakhir dua bulan dulu melalui abang saya Hj Bostammi untuk berjumpa saya tak tertunai. Moga Allah s.w.t mengampuni segala dosa-dosa seorang pejuang yang sarat dengan pengalaman dan pengorbanan ini namun begitu merendah diri dalam personalitiya.

Takziah di ucapkan kepada isteri dan keluarga Al-Marhum, moga bersabar dan redha akan pemergian beliau, dan takziah juga kepada PAS atas pemergian pemimpin dan pejuangnya yang tetap istiqomah hingga ke akhir hayat beliau walaupun ramai yang seangkatannya yang telah tersungkur di pintu dunia. Moga Allah s.w.t. menempatkan ruh Al-Marhum Ustaz Hassan Syukri berada di dalam saf teman seperjuangan beliau yang sedang tersenyum gembira menerima kedatangannya seperti AlFadhil Ustaz Fadhil Nor, Dr. Burhanuddin Helmi, Hassan Al-Banna, Syed Qutb dan lain-lain.

AL-FATIHAH


Mohd Mustaffa Jusoh, Bangi

0 Response to "BALASUNGKAWA BUAT SEORANG PEJUANG"

Catat Ulasan

Powered by Blogger