Cukup-cukuplah menyokong kebatilan wahai Ilmuan

بسم الله الرحمن الرحيم
Terusik hati ini apabila membaca beberapa respon dari golongan yang punya kemampuan dan diberi Allah kesempatan dan ruang untuk menyaluri pendapat dan fikiran di saluran media dan massa terkini.

Antaranya menyentuh isu terkini tentang tindakan yang hangat mengetuk minda sedar rakyat Malaysia, bumi bertuah yang tercinta ini. Tampak jelas pertembungan aliran pemikiran, menguji sanubari setiap yang masih hidup keinginan untuk mencari kebenaran.

Allah menguji diri kita yang sering mendakwa beriman, dengan lidah yang petah berpidato, menguliti ayat-ayat berbunga cinta dengan lukisan pelangi mewarnai minda audien, adakalanya rasa lebur hati dibajai kelunakan patah-patah perkataan yang bersulam.

Pemilik lisan ini teruji kali ini, diukur keikhlasan dan kejernuhan hatinya untuk melihat dan mengenali lakaran pawarna di ufuk kehidupan yang terbentang di depan mata. Melihat dan megenal fajar shodik atau kaazib. Mengenal lembayung dan syafaqul ahmar.

Malulah kalau hati-hati yang mendakwa dan merasakan ianya beriman dan mengasihi Allah dan Rasul menuturkan fatwa-fatwa yang kelam dan kabur, hanya kerana desakan perut yang takut kelaparan, nafsu yang menggelojak mahukan perhatian dan sanjungan. Teganya lisan-lisan ini menegakkan kebatilan, menyerkup pandangan dari bashirah kebenaran.

Cukup-cukuplah wahai yang menggelar dirinya ilmuawan, sanggup kamu memalsukan fakta kebenaran dengan ilusi palsu. Tak takutkah kamu untuk menjawab di hadapan Allah nanti kenapa sanggup bersekongkol dengan kebatilan demi sesuap nasi sepinggan rezeki.

Di manakah haramnya dalam menegakkan kebenaran, di manakah salahnya menyuarakan isi hati membantah kebatilan, di manakah silapnya jika mahu berusaha untuk membersihkan jelaga-jelaga hitam yang mengotorkan minda kehidupan masyarakat dan sistem negara.

Apakah halal menggambarkan keamanan dengan huru-hara, apakah kebenaran ini dengan memutar belitkan fakta dengan gambaran palsu yang penuh negatif, hanya untuk menjaga kepentingan dan tembolok yang tak pernah kenyang. Apakah akan tercapai kebaikan dengan penipuan dan kekejaman.

Bukankah Rasulullah s.a.w. menyuruh kita menegah kemungkaran dengan lisan, tangan dan hati. Bukankah Rasulullah s.a.w. melabelkan golongan yang membisukan dirinya dari suara kebenaran sebagai Syaitan-syaitan yang bisu?

Apakah tidak pernah Rasulullah s.a.w. mengajar seorang sahabatnya r.a. supaya memprotes sikap jiran yang sentiasa menyakitinya dengan meletakkan barang-barangnya di tengah jalan supaya setiap yang lalu lalang dapat melihat dan mengetahui sikap jirannya itu?

Al-Juwainy tidak salah pabila mengharamkan perhimpunan yang mendatangkan mudharat. Yang salah ialah interpretasi palsu yang salah meletakkan sumber kemudharatan itu dari siapa sebenarnya, yang berhimpunkah atau yang takutkan perhimpunan itu.

Cukup-cukuplah menggunakan lidah dan lisan yang Allah berikan untuk memutar belit dan menipu. Yang benar tetap benar, yang batil tetap batil, malulah dan insaflah.

Moga Allah bersama golongan yang sabar dengan ujian dan mehnah perjuangan ini.


Bangi,
Sha'aban/8 Julai '11

0 Response to "Cukup-cukuplah menyokong kebatilan wahai Ilmuan"

Catat Ulasan

Powered by Blogger