BILA AKAL UKURAN UNTUK MENGENAL TUHAN من عرف نفسه فقد عرف ربه


Lumrah kehidupan manusia, pasti mencari apa yang lebih hebat dan besar dari dirinya. Ada yang menjadikan ianya ikutan, panduan, rujukan hinggalah ke peringkat yang tertinggi dalam istilah kemanusiaan yang disebut sebagai ketuhanan.

Mengimbau semula pengembaraan nabi Ibrahim عليه السلام dalam mencari tuhannya sebagaimana yang disebut dalam surah الأنعام ayat 75 hingga 79


75. dan Demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang Yang percaya Dengan sepenuh-penuh yakin.


76. maka ketika ia berada pada waktu malam Yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada Yang terbenam hilang".

77. kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), Dia berkata: "Inikah Tuhanku?" maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika Aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah Aku dari kaum Yang sesat".

78. kemudian apabila Dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? ini lebih besar". setelah matahari terbenam, Dia berkata pula: ` Wahai kaumku, Sesungguhnya Aku berlepas diri (bersih) dari apa Yang kamu sekutukan (Allah dengannya).

79. "Sesungguhnya Aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah Yang menciptakan langit dan bumi, sedang Aku tetap di atas dasar Tauhid dan bukanlah Aku dari orang-orang Yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain)".

Akal dijadikan sebagai wadah untuk memproses maklumat yang didapati hasil pemerhatian di sekeliling kehidupan manusia itu. Medium dapatan maklumat samada dengan mendengar, melihat, merasa, merenung, memikir dan apa-apa saja yang dianugerahkan Allah U .

Lantaran itu akal perlulah dijaga agar tidak rosak pengaturcaraannya semasa memproses dan mencernakan sesuatu maklumat. Banyak virus yang sentiasa mengintai peluang untuk merosakkan atau sekurang-kurangnya menyelewengkan landasan pemikiran akal. Itulah janji iblis laknatullah kepada tuhannya semasa dihalau dari syurga. Dalam memahami dan mengenal konsep ketuhanan dalam Islam, berakal atau waras dalam pemikiran adalah prasyarat yang penting bagi setiap individu selain baligh. Golongan yang tidak sempurna akalnya tidak ditaklifkan untuk melaksanakan syariat Allah, kerana zahirnya dia tak dapat memproses kefahaman dalam mengenal Allah.



Golongan yang berakal dalam mengenal Allah Y tuhan penciptanya menerusi ciptaanNya disebut dalam Al-Quran sebagai ulul albab sebagaimana dalam ayat 190 hingga 191 surah آل عمران berikut :
190. Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal;


191. (Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.

Di sini ingin saya berkongsi beberapa kisah yang benar-benar berlaku dalam menelusuri kehidupan di dunia yang sementara ini, moga dapat menambah khazanah maklumat yang sedia ada dan membantu dalam memahami beberapa persoalan ketuhanan dan kehidupan.

π1. Kisah ini berkisar pada perbualan saya dengan seorang lelaki tentang pemahaman ketuhanannya.
Baru-baru ini rumah saya didatangi oleh seorang lelaki cina dalam usia 60an, untuk membaiki dapur gas yang tersumbat hingga apinya menjadi terlalu kecil. Kebetulan waktu itu pagi Jumaat dalam pukul 11pagi. Saya beritahu supaya jangan lewat hingga pukul satu kerana saya perlu pergi solat Jumaat. Katanya kerjanya akan habis sebelum pukul satu (tanpa
إن شاء الله tentunya). Kemudian katanya tak mengapa kalau saya hendak pergi masjid nanti sebab isteri saya ada di rumah, "jangan takut la, saya sudah tua," hujahnya.

Dalam hati berbisik, beginilah jadinya kalau akal jadi pegangan tanpa panduan rabbani. "Bagi awak orang itu macam biasa, tapi kita orang Islam tak boleh tinggal isteri sama orang asing, itu integriti yang mesti jaga punya" jawab saya cuba menerangkan pada beliau, harap-harap jadi pengajaran kalau dia pergi ke rumah orang lain di masa depan.

"Ooo, itu macam ka, selalu saya biasa pegi rumah orang melayu tarak apa pun?" katanya lagi. "Itu orang melayu, saya orang Islam," saya jawab dalam nada bergurau. Dia menyambutnya dengan ketawa, tak taulah kerana faham atau cuba menutup tajuk bicara.

Kemudian dia bertanya, kalau sembahyang di rumah bukankah boleh. Saya jawab memang boleh untuk solat waktu tapi solat Jumaat mesti di masjid. Dia nampak berminat untuk bertanya lagi, katanya, "kenapa you orang sembahyang banyak-banyak, sampai tujuh kali satu hari?". Tergelak saya dalam hati, malang sungguh, walau dah lebih enam puluh tahun hidup di dalam lingkungan masyarakat melayu orang sebegini masih begitu kurang jelas perihal Islamnya. Mungkinkah kerana memang ianya bukan sau keperluan untuk tahu atau kegagalan itu datang dari masyarakat yang lalai untuk menjadi umat contoh.

"Kita orang Islam sembahyang lima kali satu hari," cuba untuk membetulkan persepsi beliau. "Apasal sembahyang banyak-banyak, satu kali cukup la, tuhan tahu apa kalau kita buat baik," dia cuba untuk mengumpan sensiviti saya. "Betul, tuhan tahu kalau kita buat baik tapi bila tuhan sudah suruh kita mesti buat, orang Islam mesti patuh sama suruhan tuhan," saya sengaja mengulang-ngulang perkataan orang Islam supaya dia keluar dari persepsi lama versi melayu yang nyata sudah dicemari virus. "Kenapa bila tuhan suruh lima kali kita buat satu kali saja, tapi bila makan kita mau lebih tiga kali, satu kali cukup la, tuhan tahu kita makan," saya menanti jawapan tapi nampaknya dia hanya menganggukkan kepala saja. "You ada anak ka Mr. X ?" "Ada empat orang, semua sudah ada kerja, ada family" pantas jawabnya. "Ok la kalau you punya anak balik rumah sesekali saja, itu pun pasal ada masalah baru mau jumpa sama you, mau pinjam duit ka, mau minta itu ini ka, apa you fikir?" saya mula bertanya lagi. "Ooo, tentu la saya marah, tarak guna punya anak, sudah susah baru mau ingat," bagai pucuk dicita ulam mendatang jawapannya itu. "Jadi itu you sebagai bapa pada anak, itu macam rasa tak patut, sekarang sama tuhan, bila susah baru mau ingat, baru mau minta tolong, masa senang you lupa, you makan Dia punya rezeki, you guna Dia nikmat, tapi you lupa sama Dia, itu macam ada patut ka?" buat kesekian kalinya saya cuba mengetuk mindanya.

"Ya la, you cakap banyak betul la, sudah susah baru mau ingat tuhan, masa senang banyak lupa, haiyya, banyak bagus la you." Akhirnya setelah kerjanya siap sebelum pukul satu sebagaimana yang dijanjikan, dia pun mengemas barang-barang dan minta diri. Selepas membayar perkhidmatannya sebagaimana yang dijanjikan (tanpa diskaun walaupun berkali-kali diminta) saya mengucapkan terimakasih dan berkata jika ada kawan-kawan saya orang Islam yang memerlukan perkhidmatanya bolehah saya beri cadangkan. Katanya tak perlulah sebab dia pun sudah jarang menservis dapur lagi, kebetulan hari itu dia ada masa jadi dia datang ke rumah saya.

π2. Kisah ini berlaku semasa saya masih belajar di Baghdad. Semasa cuti musim panas saya telah pergi ke Jordan yang merupakan satu-satunya jalan alternatif untuk kami pelajar Malaysia di Baghdad pada masa itu ( sekitar 1999 ke 2000) jika mahu pulang ke Malaysia atau ke destinasi lain. Saya menaiki bas dari Mafraq ke Amman. Maklumlah perawakan dan penampilan seorang pelajar melayu yang seadanya, berjalan di perantauan yang asing . Dalam bas dipenuhi penumpang tempatan itu saya duduk di bahagian belakang sekali, kebetulan kosong. Saya kemudianya didatangi seorang lelaki arab yang pada mulanya duduk di kerusi depan bersama isteri dan anak kecilnya. Beliau menyapa dan bertanya saya dari mana, nampak cuba untuk memulakan perbualan. Keramahannya saya sambut dengan baik, beliau seolah-olah nya terkejut (atau mungkin strateginya untuk menarik hati saya) bila mendapati saya berbahasa arab, katanya jarang dia mendengar orang asing boleh berbahasa arab. Saya terperasan rantai salib di lehernya, antara tanda yang dapat membezakan orang Kristian di sana, kerana selalunya nama dan percakapan hampir sama dengan orang Islam, hatta salam.

Beliau bertanya, kenapa belajar di Baghdad, kenapa tidak di Jordan. Saya berseloroh kalau semuanya ke Jordan siapa yang akan tinggal dan mempertahankan Baghdad. Dia cuba mencungkil minat saya apabila berkata yang walaupun sebagai seorang kristian tetapi dia banyak membaca dan minat untuk mengkaji Al-Quran, kitab pegangan umat Islam. Saya menjawab muga keikhlasannya akan menjadikan beliau manusia yang baik dan mengenal kebenaran dan seterusnya mendapat petunjuk ke jalan yang benar.


Dia bertanya apakah sebagai seorang penuntut pengajian Islam saya tak punya minat untuk membaca da mengkaji agama kristian. Saya jawab memang kami punya tanggung jawab untuk mengetahui dan mendapat maklumat berkenaan agama-agama lain, bukan sekadar kristian sahaja, cuma kami perlu mendalami Islam dahulu. Dia bertanya lagi, kenapa perlu mendalami Islam untuk mengetahui agama yang lain. Saya menjawab yang dengan memahami dan mendalami dan memahami Islam saya akan mamahami di mana kepincangan agama lain dari sudut akidah dan ketuhanan.

Perbahasan mula panas, saya perasan juga yang suasana dalam bas agak senyap, hanya suara kami berdua yang kelihatan mendominasi ruang dalam bas ketika itu. Radio di tempat pemandu yang tadinya terpasang juga tidak kedengaran lagi.

Lelaki itu cuba membangkitkan sentimental agamanya dengan bercerita bagaimana kristian meletakkan Isa al-Masih sebagai penyelamat umatnya dengan mengorbankan dirinya sendiri di palang salib, umpama seorang yang menenggelamkan dirinya supaya jiwa-jiwa yang lain yang beriman kepadanya tidak tenggelam sama. Ini adalah kerana menurut perintah tuhannya. Lantaran pengorbanan besarnya itu dia diangkat menjadi tuhan anak. Barang siapa yang tidak beriman dengan Al-Masih maka tidak termasuk dalam golongan yang diselamatkannya itu.


Saya nampak peluang untuk memintas hujahnya ketika itu. Saya berhujjah, kalau begitulah tuhan kamu jelas tidak bijak. Nampak dia terkejut dengan kata-kata itu. Saya meneruskan lagi bahawa tuhan Maha Pencipta perlulah juga Maha Bijaksana, bagaimana mungkin untuk menyelamatkan yang orang lain dari tenggelam dia mengorbankan dirinya, sepatutnya dia mengajar bagaimana untuk berenang dengan sebaik-baiknya supaya tidak tenggelam, begitu juga pengorbanan seorang penyelamat bukanlah dengan membinasakan dirinya tetapi dengan memandu dan menunjuk jalan yang benar kepada pengikutnya.



Di sinilah bezanya Islam, yang mengiktiraf Isa Al-Masih sebagai seorang nabi lagi rasul yang menunjukkan jalan yang lurus dalam mengenal tuhannya. Saya terangkan padanya Islam tidak menolak akan kewujudan dan kenabian Isa Al-Masih, bahkan baginda merupakan saudara kenabian kepada Rasulullah s.a.w. Islam menolak pemesongan akidah yang menjadikan Isa dan ibunya Maryam Az-Zahra' sebagai tuhan hingga membentuk trinity sebagaimana yang di imani oleh penganut kristian hari ini. Bahkan sejarah kerasulan Isa Al-Masih dan ibunya serta pemesongan akidah kaum nasrani dengan mengubah injil jelas diceritakan dalam Al-Quran. Islam tidak menerima hujah akal semata-mata tanpa bersandarkan kepada dalil nas dari Al-Quran dan hadith nabi.


Beliau kelihatan agak terkedu dengan kata-kata saya, jelas terperanjat apabila mendengar yang kisah Al-Masih ada diceritakan dalam Al-Quran. Dakwaan awalnya tadi bahawa dia minat membaca Al-Quran jelas satu taktik untuk mempengaruhi minda saya. Agak panjang juga perbualan kami selepas itu, antaranya dia cuba menyentuh tentang kenapa perlu ada berbagai mazhab kalau betul Islam itu satu, kenapa umat Islam berpecah kalau betul akidahnya satu dan kenapa dalam Al-Quran sendiri perlu ada penafsiran yang berjela-jela dan bacaan yang berbeza-beza (qiraat).

Semuanya saya jawab dengan sebaik mungkin, syukur kerana pada masa itu terasa الله سبحانه وتعالى telah membuka minda saya, dengan rasa lapang idea dating mencurah-curah menjawab persoalan yang dikemukan oleh lelaki itu. Saya jawab pelbagai mazhab adalah bukti fleksibiliti Islam, bagaimana sumber yang sama memberi ruang yang cukup luas untuk berfikir, itu tanda agama kami tidak jumud. Al-Quran masih utuh keasliannya sebagaimana yang diwariskan oleh rasulullah s.a.w. Landasan yang tetap sama, Allah itu Esa dan Muhammad itu rasulNya. Sila tunjukkan bukti perbezaan mazhab membawa kepada perpecahan akidah kami selama ini. Perpecahan umat Islam lantaran kejahilan dan jauh dari agama, ditambah lagi provokasi musuh yang sering berusaha untuk memburuk-buruk dan menghancurkan Islam sejak awal lagi, paling dekat Israel yang berjiran dengan Jordan. Namun Allah menjanjikan kemenangan pasti di tangan Islam walaupun kalah di medan juang, dan janji Allah itu pasti. Penafsiran dan qiraat itu bukti bahawa Al-Quran itu bukan karya Muhammad s.a.w. tapi datangnya dari Yang Maha Bijaksana, tak berubah sedikit pun maksud dan makna walau berbagai penafsir dan bacaannya. Indahnya bait-bait dan alunan menyentuh lubuk hati yang mencari keindahan hakiki. Sila baca tafsir yang ada dan sila dalami makna ayat-ayatNya jika mahu menikmati keindahan yang terkandung. Pernahkah ada penafsiran dan bacaan yang berbeza bunyi dan maksudnya dikalangan bangsa yang berbagai ini?


Perbualan kami terhenti apabila lelaki itu meminta diri untuk turun lebih kurang sepuluh minit sebelum sampai ke Amman. Katanya muga jumpa lagi. Selepas dia dan keluarganya turun, hampir kesemua penumpang yang duduk di depan berpaling dan mengucapkan tahniah dan terimakasih atas jawapan yang saya telah berikan kepada lelaki kristian itu tadi. Rupa-rupanya hampir kesemua mereka memasang telinga mendengar perbualan kami, bahkan pemandu bas pun mendengarnya, sebab itu radio ditutup. Ada juga yang mula mengulas dan memberi komentar, tak kurang juga yang mengutuk lelaki tadi. Dalam hati saya berkata, semasa berdepan kamu diam bila di belakang berani pula, patutlah banyak masalah menimpa negara dan bangsa kamu. Semasa turun di stesen bas Amman ada yang datang berjabat tangan, mengucapkan terimakasih dan rasa kagum bagaimana orang asing boleh mampu untuk bercerita tentang Islam sebegitu rupa. Jawab saya, inilah bukti keagungan Islam, Salahuddin Al-Ayubi juga bukan berbangsa arab. Ada juga yang mempelawa untuk makan tengahari. Saya menolak dengan baik dan mengucapkan terimakasih. Nasib baiklah tak ada yang mempelawa untuk buat menantu.

π3. Kisah ini berlaku semasa saya masih di bangku sekolah menengah, kalau tak silap sekitar tahun 1983 atau 1984. Ketika itu sekolah saya di Petaling Jaya itu dipanggil sekolah misisionary seperti Convent Bukit Nanas dan St John Institiution, di mana pengetuanya adalah seorang Brother, Father atau Sister. Ada juga tenaga pengajarnya dari golongan ini. Sekolah tersebut majoriti pelajarnya adalah cina dan sedikit pelajar india. Pelajar melayu begitu minoriti, dalam kelas saya sendiri hanya ada dua orang saja. Ada dua senario yang ingin dipaparkan di sini.


Yang pertama perbualan dengan seorang pelajar hindu tentang tuhan. Saya bertanya kenapa orang hindu tidak makan daging lembu sedangkan susunya diminum. Kawan itu menjawab kenapa saya minum susu ibu tapi tak makan dagingnya. Jawab saya, pertamanya memang susu ibu itu untuk diminum dan dagingnya pula bukan untuk dimakan, sedangkan lembu itu dicipta untuk diminum susunya dan dimakan dagingnya. Kemudian apabila saya bertanya apakah beliau meletakkan martabat lembu seperti ibunya, dia tidak menjawab bahkan terus berlalu pergi dengan marah.

Yang kedua perbualan saya dengan seorang pelajar Cina. Satu hari selepas masa pendidikan jasmani, kami duduk-duduk melepskan penat. Kawan ini tadi menunjukkan sekeping gambar foto langit. Saya masih ingat lagi ada seperti jaluran hitam di celahan awan putih. Katanya ada yang memberinya gambar tersebut dan mendakwa itulah gambar tuhan dilangit yang berada di sebalk awan. Saya bertanya adakah dia percaya bahawa itu tuhan. Dari situ dia mendedahkan bahawa sebelum ini dia tidak mempercayai kewujudan tuhan kerana tak pernah melihat bukti kehadiran tuhan. Saya bertanya lagi perlukah melihat tuhan untuk mempercayai kewujudanNya. Jawab beliau setiap yang ada di dunia ini dapat dilihat dan punya penjelasan yang logik, tentulah mustahil kalau tuhan yang mencipta tak kelihatan dan tak boleh dijelaskan kenapa tidak kelihatan.


Mujurlah sebelum itu saya ada juga mengikuti pengajian tauhid di masjid Kampong Pasir Petaling yang menceritakan tentang kewujudan tuhan. Masih ingat lagi antaranya kitab عقيدة الناجين yang diajar oleh tuan guru Hj Samin. Begitu juga seorang guru saya almarhum Pakcik Mad Lebai atau dikenali juga sebagai Us Mohammad Zakaria. Jasa mereka ini hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya.

Lalu saya pun cubalah test power sikit, maklumlah jiwa remaja yang begitu ghairah. Saya bertanya apakah udara itu ada. Jawabnya tentulah, kalau tidak kita akan mati (berdasarkan fakta sains). Kemudian saya tanya lagi, di mana letaknya udara, jawabnya di sekeliling kita. Saya bertanya lagi, adakah dia percaya akan wujudnya nyawa. Jawabnya tentulah wujud sebab itu kita hidup. lalu saya minta dia tunjukkan tempat dan bentuk nyawa yang ada padanya. Dia diam seketika kemudian menjawab, mustahil untuk menentukan kedudukan nyawa di dalam badan atau pun bagaimana bentuknya, mungkin letaknya di otak dan rupanya mengikut rupa masing-masing. Saya kata kenapa ada orang yang luka kepalanya dan dibedah tempurung kepala tapi masih hidup, kenapa ada yang mati kerana terpotong tangan atau kaki atau anggota badan yang lain selain kepala. Saya pun menimbulkan persoalan bahawa kalau nyawa sendiri pun yang ada sejak jasad ini dilahirkan masih tidak dapat kita menjelaskan di mana dan bagaimana rupanya, bagaimana kita mahu merungkai peroalan di mana dan bagaimana rupa tuhan. Itulah penjelasan logik tentang kewujudan tuhan Maha Pencipta. Saya tak ingat apa respon pelajar tersebut waktu itu tapi yang pastinya isu kewujudan secara logik sedikit sebanyak terjawab kalau dia jujur untuk mencari tuhan.


Begitulah antara yang dapat dikongsi pengalaman hidup, bukan untuk menonjolkan diri tapi sekadar menimbulkan kesedaran bahawa banyak lagi yang perlu dilakukan dalam menyedarkan manusia tentang tuhannya, agar tidak mudah tergelincir dari landasan tauhid dalam menelusuri perjalanan seorang hamba dalam menuju kepada tuhannya. Sering kita lihat bagaimana mudahnya sesuatu objek dipertuhankan. Ada pula yang keterlaluan berfalsafah dalam ketuhanan, ada juga yang begitu mudah mempersalahkan tuhan apabila ditimpa musibah.



Saya pernah mendengar pendapat dangkal yang mengatakan wanita dicipta setelah tuhan tidak berpuashati dengan kekurangan dalam penciptaan makhluk lelaki. Seolah-olahnya tuhan itu saintis yang mencari kesempurnaan dalam penciptaan. Maha Suci Allah Maha Pencipta, Maha Sempurna dari segala kekurangan dan Maha Berkuasa menentukan segalanya.

Berhati-hatilah dalam menggunakan akal untuk mengenal Allah Yang Maha Esa, agar menjadi hambaNya yang mendapat keredhaan dan keampunan, dalam kehidupan yang sementara ini, menuju pelayaran kehidupan yang abadi di sisiNya.








SYUKUR



Hanya syukur lafaz ku mampu


Pada anugerah Yang Maha Esa


Peluang melihat merenung dunia


Ragam manusia berbagai gaya


Bentuk rumpun warna budaya semesta


Ada yang sama banyak jua yang berbeza


Namun asasnya tetap satu


Mencari Iman Tuhan Yang Satu




Pasrah diri pada Mu jua


Rabbul 'Izzati Maha Pencipta


Bahasa paras sama dalam beza


Tanda hebat rahsia kejadiannya


Renung makrifat kenal hakikat


Dengan ilmu dan Iman jiwa terikat


Moga diri yang hina tak mudah lupa


Hebatnya Allah Yang Maha Berkuasa





VISTA SERI PUTRA, MAC 10



HIDUP DAN PERSEPSI


Sedar tak sedar tahun 2010 ini hampir melepasi suku pertamanya. Dalam tiga bulan pertama ini berbagai pengisian dan input kehidupan yang dilalui. Ada yang boleh dijadikan tauladan dan pengajaran, tak kurang juga yang sesuai untuk sempadan panduan dan peringatan dalam meneruskan langkah-langkah kehidupan yang yang masih berbaki ini.



Senario politik penuh warna-warni, menyilau pandangan rasa dan fikir. Kekadang tampakannya biru, datang sirna luntur menjadi kelam, ada yang merah, kononnya tranformasi realitinya pudar menjadi daki, datang pula hitam berawan mendung, turun hujan bersinar pelangi. Yang melompat, yang dipecat, yang mendakwa, yang didakwa. Lantaran itu hidup tanpa pedoman ilmu dan kematangan fikiran mudah tercemar dengan warna-warni palsu kehidupan. Kata orang tua-tua; sinar kaca jangan anggap ianya permata, air yang tenang jangan disangka tiada buaya.



Rasulullah mengajar kita, mahukan dunia perlu berilmu, mahukan akhirat perlu berilmu, mahukan kedua-duanya juga perlu berilmu. Begitu pentingnya ilmu hingga disamakan orang fasik yang berilmu itu lebih baik dari 'abid yang jahil. Kedudukan golongan ilmuan diletakkan tinggi dalam Islam.



Namun jangan dilupa, ilmu tanpa adab, kejujuran dan keikhlasan umpama pohon berduri di padang pasir, manfaatnya ada tapi kurang merata faedahnya, Duri dan onak mudah melukakan dan menyakitkan sesiapa yang ingin menumpang teduh di bawahnya, dengan alasan untuk mengubat kejahilan, hakikatnya hujah dan tohmah berjalan seiring. Ada yang tertipu, biarlah redha dalam paksa demi mencari silauan kebenaran di fatamorgana, ghurur dalam pakaian elitis, ada jua yang tak mahu ambil tahu, katanya masih belum sampai seru, nantilah dulu malas nak kusut-kusut memikir, halal haram boleh tunggu, pintu taubat masih boleh menunggu.



Ada pula yang mahu melihat dari persepsi diri, kalau sesuai ikut menari, kalau tidak baling kerusi, maklumlah dasar hidup demokrasi liberisasi, to be or not to be. Jangan lupa hidup ini punya Ilahi, Tuhan Yang Maha Mengetahui.



Arus ekonomi pun tak kurang hebatnya mengisi tentatif hidup komuniti. Dari sumber media hingga forum kedai kopi, turun naik saham dan petunjuk ekonomi, gst dan harga komoditi sampailah kepada debat royalti, isu PPRT, bonus dan gaji, muktamadnya borang polisi insuran ramai yang mengisi, dalam memikirkan kelangsungan hidup yang tak menentu buat diri dan keluarga sendiri. Alternatif lainnya PERKESO dan KWSP. Itupun kalau masih berbaki.



Para murabbi selalu mengingatkan; hidup ini jangan leka, muraqabah Allah sentiasa ada di mana-mana, carilah redhaNya setiap masa, harapan pada manusia kita kan mudah kecewa, mintalah pada Yang Maha Esa, pasti hati rasa tenang dan bahgia.

Tahun Baru Isu Lama



Tiba sudah tahun baru 2010, muqaddimahnya dunia menyaksikan bulan yang gerhana pada tengah malam (waktu Malaysia) setelah jutaan manusia bergembira menyambut detik tahun baru jam 12 tengah malam. Jemputan masjid negara untuk sama-sama mencerap gerhana bulan dan solat sunat gerhana dipandang sepi. Jalanan Bukit Bintang, KLCC dan pusat-pusat bandaraya penuh dengan makhluk manusia, berbagai agenda, aktiviti dan tentatif dipamer dan dipraktikkan bagi menggambarkan keceriaan tahun baru.





Seorang teman bangsa Pakistan ada bertanya, "where you celebrate new year, brother?" dan agak terkejut dengan jawapan, " I spent it inside my room, thinking, considering, memorizing and evalueting what had past of my life, thanking Allah for all he'd give and bless and pray to Him in hope for the best for uncertain future."

Di ambang tahun baru kita lihat media elektonik dan media cetak pasti sibuk mengimbau kembali jaluran warna berita, peristiwa dan pencapaian sepanjang tahun sebagai iktibar dan kenangan namun jarang sekali yang mengambil pengajaran dan teladan. Azam dan impian baru dicari dan diberi. Yang datang dan pergi hangatnya semusim, tak sampai sepelaung sepi kembali ditiup dingin bayu.

Umur yang makin berkurang, dateline hidup yang makin hampir kurang diberi perhatian, prihatinnya bermusim, yang penting enjoy what left of it when you still can, ingatan dan teguran berbaur keinsafan dan ketuhanan kurang popular, hanya hangat sekali-sekala.

Kalimah Allah buat kesekian kalinya jadi taruhan, mengusik hati nurani yang makin leka dan lena. Belumpun lega isu wahabi, murtad, khalwat dan yang sewaktu dengannya, zon sensitif ini diceroboh lagi. Maka niat jadi penentu, yang bersuara lantaran prihatin akan keimanan dan keislaman atau sekadar meraba peluang menaikkan populariti, harap ianya selesai dengan sebaik mungkin, ujian sering menyerlahkan siapa dan apa, menyedarkan leka dan lena.

Barang naik lagi, tagline yang popular sudah pasti Ianya tidak akan membebankan rakyat. Memang benarlah kata PM DS Najib, rakyat di dahulukan, memang telah terbukti golongan rakyat biasalah yang dahulu sekali merasakan keperitannya, sejak zaman dahulu lagi.



Akhirnya semuanya kembali kepada diri kita sendiri, mahu berubah, sudah berubah atau saling tak ubah dengan yang lain. Firman Allah dalam surah Ar-Ra'd ayat 11:


: إن الله لا يغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم










CEPATNYA HARI-HARI ITU BERLALU ركضت تلك الأيام

Salam Zulhijjah buat semua yang sudi menziarahi blog ini dan menatap catatan ini. Sedar tak sedar dah hampir ke penghujung tahun, samada tahun masihi yang berbaki kurang sebulan lagi (hari ni 4 Dis 2009) ataupun tahun hijri yang tinggal lebih kurang dua minggu sahaja lagi (hari ni dah 17 zulhijjah).


Dari Ramadhan ke Ibadah Haji; epilog penyerahan hidup hamba pada Penciptanya

Banyaknya perkara dan peristiwa yang berlaku sejak akhir ana menulis (bulan Julai yang lalu), dari al-marhumah Kak Zizah, kakak sepupu sebelah mak yang meninggal dunia dan sehari selepas itu vokalis nasyid Ustaz Asri Ibrahim, abang kepada kawan ana Ustaz Ghazali dan Fadhil Ibrahim,

Al-Marhum Asri Rabbani Maza and the gang Tautan Ukhwah Dua Pimpinan Ulama'


PM DS Najib Tun Mahathir


Ramadhan yang datang dan pergi, penyelia tesis yang bertukar dua kali(kira rekod la tu, dalam setahun 4x tukar, harap-harap kali ni cukuplah kuota tukar tu), hari raya Eidul Fitri, kereta rosak buat kesekian kalinya hingga terpaksa merobekkan poket yang dah sedia rabak untuk menukar kereta yang baru (setelah merenung, memikir, memening, mencongak, menyoal-selidik, mengigau dan lain-lain me…. yang berkenaan dan difikirkan wajar), musim haji bermula, perkhabaran tentang yang abang Bostammi dan isteri yang mungkin berangkat mengerjakan haji (dan akhirnya selamat berangkat pada 18 Nov yang lalu dan insya Allah dijangka pulang pada 20 Dis ini), berita demonstrasi pelajar KUIS yang menggemparkan (agak lambat sampai berita nya walaupun tokoh-tokohnya tinggal dua pintu saja), raya haji Eidul Adha yang jatuh pada hari jumaat yang lalu (27 Nov), syukur kerana Allah masih memberikan kesempatan untuk melakukan ibadah qurban tahun ini, buat pertama kalinya ana menyertainya bersama-sama penduduk vista seri putra pada hari sabtu raya kedua, dan sempat




Banjir di Kelantan Korban Demo di Kuis(yuran o yuran) Dr Zul(ex supervisor)


juga menyibuk diri bersama rakan-rakan di masjid Al-Azhar KUIS yang mengadakan qurban pada pagi Jumaat selepas solat raya.
Itu belum lagi berita pergolakan dan pengeboman di Iraq, bumi Pakistan dan Afghanistan yang tak sunyi saban masa menagih nyawa umat Islam, kontroversi politik domestic yang tenggelam timbul, dari kepala lembu, Dr Hassan Ali dan Khalid Samad di Selangor, Tuan Guru Nik Aziz di Kelantan(dari isu kerajaan perpaduan, krisis kepimpinan dalaman PAS, tajaan haji, doa untuk PM dan beberapa isu lagi, dengar cerita-ceriti there’s more to come), kritikan Dr Aziz Bari yang menimbulkan kotroversi kepimpinan Tuan Guru Haji Hadi, royalti minyak di Pusat, banjir di Pantai Timur dan utara semenanjung yang pasang surut, krisis MCA yang lepas satu-satu, Dun Kota Seputeh yang diarahkan kosong, rentetan penangkapan bekas mufti Perlis Dr Asri Zainal Abidin (yang terkenal menongkah arus dengan idea-ideanya yang disifatkan berbau wahabi, menariknya kes beliau mendapat sokongan dari pelbagai pihak dari politik seperti PM, Shahidan Kassim dan Shaari Sungib, artis seperti Azwan Ali dan Adibah Noor dan aktivis seperti Marina Mahathir. Veteran politik Tun Mahathir juga tak ketinggalan, Pak Lah je yang rasanya tak kedengaran wallahu ‘alam.
Banyak lagi turutan peristiwa yang nak di catatkan, tapi cukuplah setakat ini sebagai pengisi bicara. Yang pentingnya dapat di lihat di sini, kalau dari sudut seorang insan biasa yang kerdil seperti ana ini pun tak terkejar nak mengikuti sepanjang jalan kenangan ini, bagaimana kalau nak di cekupi setiap kronologi perkara yang berlaku di seluruh dunia dalam setiap denyutan nadi yang berdetik ini. Tak hairanlah kalau ada yang kaya dengan mengutip berita dan memanipulasinya.
Di sini juga hati menjadi insaf dan kembali kepada kebesaran Allah العليم Yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa dalam menentukan segala-galanya, sesungguhnya setiap yang berlaku itu ada hikmah, pengajaran dan panduan bagi mereka yang melihat dari sudut yang positif.
Dari Allah kita datang dan kepadanya jualah kita kembali.

NATRAH; TRAGEDI DAN PENGAJARAN KEHIDUPAN

Natrah atau Nadra Maarof adalah wanita keturunan Belanda yang menyebabkan Rusuhan Natrah di Singapura pada tahun 1950. Rusuhan ini terjadi kerana berbaur dengan sentimen agama dan warna kulit. Peristiwa ini member kesan dalam sistem social dan perundangan di Malaysia kerana ianya antara sebab artikel 121 (a) dimasukkan
Nama asalnya adalah Maria Hertogh. Bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh dan ibunya Adeline Hunter . Kakaknya Wiesje, Corrie. Adiknya Benny dan Karel.
Ayah kepada Maria Hertogh telah ditahan oleh Tentera Jepun dan anaknya telah diberi dan dibesarkan oleh Makcik Aminah. Beliau telah dibesarkan dalam keluarga Islam dan telah diberi nama sebagai "Natrah"



Selang satu masa lepas tu, dipendekan cerita, kerajaan Belanda berpakat dengan kerajaan British bagi memurtadkan kembali Natrah yang sudah memeluk agama Islam dengan cuba menggunakan tipu daya bagi mengheret Natrah ke dalam Mahkamah Tinggi Singapura pada tahun 1950. Natrah akhirnya diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandung di Belanda. Keputusan mahkamah itu menimbulkan kemarahan masyarakat Islam di Singapura, sehingga berlaku rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan Natrah.

Pada tahun 1950 itu walaupun kita masih belum merdeka namun semangat juang dan akidah umat Islam yang majoritinya berbangsa melayu terlalu tinggi. Dengar sahaja kerajaan British berpakat kerajaan Belanda bagi memurtadkan Natrah, Orang melayu dari Kelantan berkayuh basikal turun ke Singapura, Orang melayu di Pulau Pinang jalan kaki ke Singapura, orang melayu dari Perak dan Selangor tumpang keretapi barang untuk ke Singapura. Pada tanggal 12 Disember 1950, beribu orang Islam sudah sampai ke Singapura

Pada waktu tersebut mereka cuba untuk masuk ke dalam mahkamah bagi membantah keputusan hakim, Orang melayu diketuai oleh Karim Ghani telah ditahan oleh Inspektor Taha yang berkhidmat dengan kerajaan British.

Karim Ghani menyatakan kepada Inspektor Taha "kamu orang Islam, aku orang Islam, aku datang hari ini bagi menyelamatkan akidah seorang anak yang menyebut kalimah "LAILAHAILLAH", adakah kamu yang menyebut kalimah "LAILAHAILLAH" juga mahu menghalang aku? kamu halanglah aku akan tetap pergi....

Mendengar tu saja Inspektor Taha terus cabut uniform dia, buang senjata dia..Inspektor Taha menyatakan "demi Allah, aku akan bersama kamu pada hari ini"..laungan Allahu akbar bergema disetiap sudut...Inspektor Taha terus serbu untuk masuk ke dalam mahkamah bersama kumpulan orang orang Islam yang lain. Lalu datang askar British melepaskan tembakan ke arah kumpulan umat Islam yang berkumpul itu. Mengalir darah umat Islam di tangga mahkamah tinggi Singapura. Dilaporkan seramai 18 orang telah gugur syahid dan kira-kira 200 orang cedera dalam tragedi itu ketika mereka bertempur dengan tentera dan polis British, sehingga Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama dua hari dua malam.

Rujukan Fatini Yaacob, majalah Dewan Masyarakat, DBP, April 1989 hlm 20.

Natrah yang menggunakan nama Bertha pernah kembali ke rantau ini pada 1999 untuk penggambaran filem dokumentari mengenai dirinya oleh sebuah syarikat televisyen Belanda.

Beliau meninggal akibat leukemia dalam usia 72 tahun pada 9 Julai 2009 di Huijbergen, Belanda. Menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama Khamis.


Sebuah filem mengenai Bertha arahan Ben Sombogaart dilaporkan akan dikeluarkan tahun depan (2010).

Berikut adalah kronologi kehidupan insan malang yang bernama Natrah ini berdasarkan rujukan tulisan Datin Fatini Yaacob dalam majalah Dewan Masyarakat, DBP, April 1989 hlm 20.

  1. 24 Mac 1937 - Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh

Disember 1942- Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.

Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.

  1. 15 November 1945- Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.
  2. 1945- Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.
  3. September 1949- Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.
  4. 19 Ogos 1949- polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.
  5. 12 April 1950- Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.
  6. 22 Mei 1950- Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat,Singapura
  7. 24 April 1950- Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura
  8. 28 April- Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.
  9. 19 Mei 1950- peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah.

Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura .

  1. 28 Julai 1950- Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill


  2. 1 Ogos 1950- kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor kisaAdabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad, Siti Aisyah.


  3. 2 Disember 1950- Ketua Hakim mengeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah.Mengikut undang-undang Belanda , seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.

    Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.

  4. 12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman – Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dijadikan Katholik.

  5. 12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.

  6. 13 Disember 1950- Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang, Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.
    Ada protes orang Islam di Karachi, Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.


  7. 15 Disember 1950- Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya, Sarjan Hertogh.
    Di rumahnya di Bergen Op Zoom , kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom?'. Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5
    kali sehari.
  8. Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.
  9. Januari 1952- Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.

  10. 9 Januari 1951- Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.

  11. 10 Januari 1951- Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.

  12. 17 September 1951- Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.
  13. Mac 1953- Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh'.
  14. 25 Januari 1953- Surat Mansor Adabi kepada Natrah
  15. 20 Julai 1953- Surat Bertha kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.
  16. 1954- Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri.Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Bertha yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.
  17. 26 Januari 1956- Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Bertha ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.
  18. 20 April 1956- Bertha berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.
  19. 15 Februari 1957- Bertha bersalin anak lelaki pertama. Bertha mendapat 10 orang anak. Nama anaknya Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline, Hands dan Paul.

  20. 20 Januari 1959- Surat daripada Mansor Adabi kepada Bertha menceritakan dia sudah berkeluarga.
  21. 3 Februari 1959- Surat Bertha kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail 'Personal – Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.
  22. 25 November 1975- Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Bertha dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Bertha, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Bertha telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam, hidup mewah.
  23. 16 Ogos 1976- Bertha didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Bertha dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru – tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Bertha ditangkap.
  24. 26 Disember 1976- Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.

  25. 1976- Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an
  26. Disember 1979 Bertha berkahwin dengan Tom Ballermans – lelaki yang selalu datang ke Cafe Bertha dan yang dikatakan bersepakat dengan Bertha untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht, Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.
  27. 1983- Bertha bercerai dengan Tom Ballermans
  28. 1984- Bertha masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.

  29. 15 September 1984- Bertha meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin hingga… Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.
    Bertha kemudiannya menetap di Nevada, tengah Amerika Syarkat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Bertha hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.



  30. Pada tahun 1992, kerajaan telah mengharam lagu yang berjudul Natrah nyanyian kumpulan Handy Black yang mengisahkan kisah Natrah ini.
  31. 9 Julai 2009 – Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda.
    Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama.












Pengajaran dari peristiwa Natrah ini:

  • Konspirasi dan tipudaya musuh Islam lahir dalam berbagai bentuk; perundangan, diplomasi, resolusi, demokrasi, surgensi, invasi dan apa-apa saja yang membolehkan justifikasi dan penghalalan matlamat untuk memadamkan nur Allah. Lihat contohnya di Palestine, Iraq, Afghanistan, Urumqi China, Bosnia dan tak ketinggalan di Malaysia spt Lina Joy dll.
  • Semangat sahaja tidak memada tanpa kuasa dalam memartabatkan hukum dan kedaulatan bangsa dan agama. Namun kuasa tanpa semangat dan kesedaran juga bak hampas padi yang tak memberi apa-apa manfaat, hanya hiasan zahir yang menunggu masa untuk mereput.
  • Renunglah apa yang telah berlaku dan jadikan ianya pengajaran dalam meneruskan perjalanan yang masih berbaki di hadapan, moga ianya sebagai petunjuk dan panduan yang berguna untuk diri kita dan pewaris generasi yang akan datang. Seperti artikel 121(a) yang lahir dari peristiwa ini

  • Ilmu dan kebijaksanaan sebagai pelengkap pada semangat dan keberanian dalam langkah-langkah perjuangan demi menegakkan kalimah suci لا إله إلاّ الله محمد رسول الله .

  • Dalam apa jua perkara yang berlaku yakinlah bahawasanya ketentuan Allahlah yang paling muktamad, maka jangan putus asa untuk sentiasa kembali padaNya.

PERJALANAN INI


Perjalanan ini pengajaran


Menambah pengetahuan


Mengekang kejahilan




Perjalanan ini peringatan


Bagi diri yang sering kelupaan


Buat hati yang dibuai kelekaan


Bangkit jaga dari kelenaan


Bersiap siaga mengatur persiapan




Perjalanan ini pengalaman


Menambah khazanah coretan


Memandu sisa baki kehidupan


Melakar di minda monolog perjalanan


Mengisi agenda yang lalu dalam kehidupan




Perjalanan ini kenangan


Menaut ukhwah persaudaran


Merasai indahnya ciptaan Tuhan


Menambah mapan peta lakaran keimanan


HEBATNYA CIPTAAN MU YA RAHMAN




ARIF HOTEL, KUCHING SARAWAK, MEI '09

Powered by Blogger